KUALA TERENGGANU — PAS mempunyai kelayakan kukuh untuk memimpin Perikatan Nasional (PN) berasaskan prinsip amanah, prestasi politik dan kekuatan kepimpinan.
Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Ahmad Shah Mohamed berkata, kepimpinan merupakan amanah besar yang mesti disempurnakan dengan penuh tanggungjawab selari dengan kehendak Islam, bukan medan untuk berebut jawatan.
Sehubungan itu, PAS tidak pernah mendidik ahlinya untuk mengejar kepimpinan, sebaliknya menekankan amanah sekiranya diberi kepercayaan.
Menurutnya, prinsip “berlumba-lumba melakukan kebaikan” seperti yang disebut dalam Al-Quran membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk menawarkan diri memimpin organisasi demi kebaikan ummah.
“PAS tidak pernah mendidik anggota atau ahlinya untuk berebut menjadi pemimpin dan sekiranya diberi peluang untuk memimpin mestilah melakukan dengan penuh amanah.
“Hari ini PAS sudah jauh berkembang dan menjadi parti terkuat di dalam negara ini kerana telah berjaya memenangi kerusi terbanyak di parlimen berbanding dengan parti-parti lain dengan 43 kerusi,” jelasnya.
Beliau yang juga ADUN Bandar berkata demikian ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, PAS bukan lagi dilihat sebagai parti orang kampung semata-mata, sebaliknya diperkukuhkan oleh barisan profesional termasuk peguam, akauntan, arkitek, doktor, saintis dan ahli perniagaan.
Ahmad Shah turut menegaskan rekod integriti PAS yang terbukti bersih dalam pentadbiran negeri dan negara, berbanding dengan parti lain.
“Sekiranya PAS diberi peluang memimpin PN, saya yakin PAS mampu memimpin dengan cemerlang dalam menghadapi PRU akan datang,” katanya.




























