100 Anak Asnaf Terima Sumbangan “Back To School’ DUN Batu Buruk

270

KUALA TERENGGANU — Isu kos sara hidup yang semakin menekan keluarga berpendapatan rendah terus menjadi perhatian apabila seramai 100 orang anak-anak asnaf menerima sumbangan kelengkapan persekolahan menerusi Program Back To School peringkat DUN Batu Buruk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program tersebut bertujuan meringankan beban kewangan keluarga asnaf, khususnya dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak menjelang pembukaan sesi baharu.

“Alhamdulillah, seramai 100 orang anak-anak asnaf telah disantuni melalui penyerahan sumbangan kelengkapan persekolahan.

“Inisiatif ini diharapkan dapat meringankan beban keluarga, di samping menyemarakkan semangat anak-anak untuk memulakan sesi persekolahan dengan lebih berkeyakinan dan ceria,” jelasnya dalam laman sosialnya hari ini.

Menurut beliau, program sebegini amat penting bagi membantu ibu bapa meringankan beban yang ditanggung, di samping mencerminkan keprihatinan kepimpinan setempat dalam menangani isu kebajikan rakyat, khususnya golongan memerlukan.

“Semoga usaha kecil ini memberi makna besar dan menjadi pemangkin kepada kejayaan mereka dalam menuntut ilmu serta membina masa depan yang cemerlang, insyaAllah,” katanya lagi.