Tidak Ada Sebab Ahli-ahli Parlimen Tidak Menyokong Usul Persendirian

1572
http://buletinonline.net/images/stories/aberita22/wan%20hassan1.png

DUNGUN – Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata, perkara berkaitan Usul Persendirian, yang akan dibentangkan ole Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah dijelaskan dengan terang dan nyata.

“Usul Persendirian yang telah dihantar kepada Parlimen dan yang akan dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hanya Untuk Meminda Seksyen 2 Bidang Kuasa Jenayah, Akta Mahkamah Syariah 1965.

“Sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Ustaz Abdul Hadi Usul yang akan dibawa beliau ke Dewan Rakyat berkait dengan pindaan jadual ke-9 355, berhubung dengan Enakmen Jenayah Syariah negeri Kelantan,”katanya

wan hassan mohd ramliOleh itu, beliau yang juga Yang Dipertua PAS Dungun berkata, ia adalah untuk menghukum orang-orang Islam mengikut kadar bidang kuasa kerajaan negeri dalam konsep Federalisma.

Menurutnya, ia adalah hak orang Islam dan tidak ada kena mengena dengan orang-orang yang bukan Islam, menurut Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dihantar kepada pihak media hari ini, 31 Mac.

Beliau menjelaskan, Usul yang akan dibawa adalah berdasarkan ‘standing order’, peraturan parlimen no. 49, iaitu untuk meminda satu akta mahkamah syariah bidang kuasa jenayah 1965, supaya parlimen meminda seksyen 2 akta tersebut.

“Sekarang seksyen dua mengatakan bahawa bidang kuasa mahkamah syariah Malaysia adalah hanya boleh menghukum hukuman selama 3 tahun, denda RM5000 dan 6 rotan sahaja.

“Jadi, usul yang dibawa untuk meminda supaya bidang kuasa mahkamah syariah seluruh Malaysia termasuk Kelantan dinaikkan, bagi membolehkan perlaksanaan undang-undang syariah selengkapnya, termasuk hudud dan qisas,”tegasnya.

Ia jelas tidak ada kena mengena dengan orang-orang bukan Islam di negara ini, dan Wan Hassan meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menyebabkan kekeliruan orang ramai.

“Oleh itu, tidak ada sebab kepada semua kawan-kawan saya di parlimen untuk menolak atau tidak menyokong usul yang amat baik ini,”tambah beliau