KUALA TERENGGANU – Mana-mana parti dalam PR tiada kuasa untuk pecat pemimpin samada PAS, PKR atau DAP yang memegang jawatan dalam kerajaan kerana ia melibatkan persetujuan ketiga-tiga parti.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, mana-mana parti dalam pakatan pembangkang tidak mempunyai kuasa veto atau pemberi kata putus.
Sehubungan itu menurutnya, lebih baik DAP membubarkan DUN Pulau Pinang sekiranya berhasrat memecat pemimpin-pemimpin PAS yang mempunyai jawatan dalam kerajaan dan agensi kerajaan itu, begitu juga dengan Selangor.
“Di Pulau Pinang, ketika menang dahulu adalah atas nama PR. Kalau rasa bahawa PAS tidak perlu lagi, bubarlah dewan.
“Sekurang-kurangnya DAP boleh melihat kedudukan mereka tanpa sokongan Melayu, Islam dan ahli PAS,” katanya.
Mengulas mengenai sikap DAP berhubung isu peletakan jawatan itu, ADUN Paka itu memberitahu pihak terlibat mungkin tidak faham prosedur parti PAS ataupun mempunyai agenda tertentu memandangkan kenyataan DAP mendahului keputusan rasmi PAS
Ditanya sekiranya Majlis Syura Ulama meluluskan usul Dewan Ulama PAS Pusat untuk memutuskan hubungan dengan DAP, Satiful enggan mendahului keputusan kepimpinan.
Bagaimanapun beliau
memberitahu kemungkinan pemimpin-pemimpin perlu mengambil tindakan sewajarnya sekiranya Majlis Syura Ulama bersetuju memutuskan hubungan.
“Tetapi dalam isu ini saya dimaklumkan perjawatan oleh PAS tidak banyak pun. Bukan jawatan yang besar dan tidak beri kesan besar sangat,” katanya.




























