Tidak Ada Keperluan Muzakarah Dengan Umno Masakini

1065

Beliau menyerahkan isu Muzakarah PAS-Umno tersebut kepada Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz  dan Majlis Syura Ulama’ PAS untuk memutuskannya

Katanya, keputusan Presiden PAS adalah dibuat atas persetujuan kepimpinan parti.

“Itu (muzakarah) kita (PAS) serah kepada Musyidul Am (Ustaz Nik Aziz), tapi dia bagi pihak Majlis Syura Ulama’ PAS. Saya bagi pihak PAS semuanya, rasmi (parti) saya.

“Mengikut keputusan partinya begitulah (tolak). Kenyataan rasmi (PAS), sayalah,” jelasnya ketika ditanya pemberita selepas merasmikan Masjid Mujahidin Kampung Bukit Gasing, Marang, 25 Mei lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan keputusan parti menolak pelawaan Umno mahukan bermuzakarah bersama dengan PAS.

Menurutnya, PAS Pusat berpendapat muzakarah tersebut tidak perlu diadakan sekarang dalam suasana menghadapi pilihan raya.

Ini kerana, katanya daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum muzakarah mahu diadakan dengan PAS.

“Tak perlu (muzakarah) sekarang, kita (PAS) hendak hadapi pilihan raya. Yang perlu sekarang ini bersihkan daftar pilihan raya (SPR). Jika daftar pilihan raya tidak bersih buat apa, muzakarah pun tidak guna. Bersih pilihan raya dulu,” tegasnya.