Tiada Tindakan Kepada Datuk Husam

915

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata tidak ada apa-apa tindakan yang akan diam,bil ke atas Timbalan Presiden Datuk Husam Musa berikutan tindakannya mengkritik kerajaan PAS Kelantan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Ustaz Hadi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri satu mesyuarat  antara jawatankuasa pengurusan PAS pusat ( Dewan Harian Pusat ) dengan Jawatankuasa Politik Perhubungan PAS negeri Kelantan.

Mesyuarat tersebut diadakan di JKR 10, kediaman rasmi Menteri Besar di Kota Bharu  pada kira-kira jam 2.10 petang hari ini, Selasa 22 Oktober.

“Tidak ada tindakan yang diambil terhadap Datuk Husam kerana kita tidak menerima apa-apa aduan salah laku. Jika ada aduan, ia harus dibawa kepada kepimpinan pusat ,” katanya.

Ustaz Hadi bagaimana pun mengakui, isu Husam mengkritik kerajaan Kelantan adalah antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

Beliau berkata pemimpin parti mendengar penjelasan Husam berhubung isu itu dan juga mendengar  jawapan daripada pemimpin-pemimpin negeri yang diketuai oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob .

Husam, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, yang juga bekas exco kanan kerajaan negeri Kelantan membuat kejutan apabila membidas beberapa tindakan kerajaan negeri yang disifatkannya tidak wajar dan menyimpang dari konsep ketelusan.

Ketika membahaskan usul Belanjawan 2014 kerajaan Kelantan pada 9 Oktober lalu antara lain membangkitkan isu pembalakan Hutan Simpan Kekal Ulu Sat di Machang dan kenaikan tarif air yang berkuat kuasa Ogos lalu.