Terengganu, Malaysia

Tiada Keperluan Sertai PH

SAMSUNG CAMERA PICTURES

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu menolak pelawaan parti-parti pakatan DAP, Parti KeADILan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) bagi menyertai Pakatan Harapan di negeri ini.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, tiada keperluan berbuat demikian kerana PAS lebih relevan menentang Umno dan kerajaan Barisn Nasional (BN) di Terengganu berbanding parti pembangkang lain.

Menurutnya, PAS mempunyai jentera parti yang kukuh dan mantap bagi melakukan gerak kerja ke arah kemenangan parti dan kelebihan itu tidak ada pada parti pembangkang lain.

“Dalam konteks negeri Terengganu ini hanya PAS yang lebih relevan untuk bertanding melawan Umno dan BN di Terengganu berdasarkan beberapa faktor, antaranya jentera yang kukuh untuk melakukan gerak kerja ke arah kemenangan parti dan kelebihan itu tidak ada pada parti pembangkang lain.

“Sebelum ini, PKR umum tanding di 32 kerusi Dun (Terengganu). Bagi PAS, kita ada kekuatan sendiri berdasarkan rekod-rekod yang lalu.

“Kita (PAS) akan menggerakkan persiapan untuk hadapi pilihan raya (PRU14) di 32 Dun dan lapan Parlimen,” tegasnya.

SatifulJusteru, katanya sebarang kerjasama berhubung pembahagian kerusi tidak timbul kerana PAS tidak terlibat dalam perjanjian bertulis dengan Pakatan Harapan di negeri ini.

Menurutnya, PAS kini perlu berhati-hati jika mahu mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti yang benar-benar setia.

“PAS apabila berjanji kita setia. Di Sarawak, ia bermula dengan DAP yang ada ‘kuasa autonomi’ untuk singkir PAS Sarawak (dalam Pakatan Rakyat).

“Masa dalam Barisan Alternatif (BA), DAP keluar, kemudian masuk balik, kemudian keluar. Ini menunjukkan DAP bukanlah rakan setia. Mungkin dia (DAP) tengok isyarat daripada masyarakat Cina Sarawak yang tidak menyebelahi dia. Kalau sikap DAP berterusan, tidak mustahil mereka akan hilang kuasa di Pulau Pinang,” jelasnya.

Beliau juga tidak bimbang kemungkinan pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya akan datang.

Namun katanya, apa yang berlaku pada PRN Sarawak yang hanya melemahkan kedudukan pembangkang.

Kata beliau, pertandingan tiga penjuru boleh dielakkan sekiranya masing-masing menilai kekuatan parti sendiri.
Realitinya, tegas beliau, DAP dan PAN tiada kekuatan dan tiada keperluan untuk bertanding di negeri ini.

“Bagi kita (PAS) Terengganu, sudah biasa berhadapan tiga penjuru khususnya penyertaan calon Bebas dan beberapa kawasan masih berpotensi dimenangi PAS walau pun tiga penjuru itu berlaku.

“DAP pun tiada jentera di negeri ini. Kalau dilihat pada PRN Sarawak, kenapa PAN letak kerusi di tempat kita khususnya di kawasan potensi PAS menang? Kacau daun sahaja. Ia hanya bagi undi kepada BN,” jelasnya.

Menurut Ustaz Satiful, ketiga-tiga parti Pakatan Harapan iaitu PKR, DAP dan PAN sepatutnya berbincang sesama sendiri jika benar-benar mahu menumbangkan Umno-BN.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan