KUALA NERUS – Presiden PAS Dato’Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberikan arahan kepada jentera parti dipelbagai peringkat agar bersiap siaga menghadapi pilihan raya umum kali ke-14 (PRU-14).
Beliau menegaskan, PAS mesti menguasai politik Melayu Islam pada PRU-14 tanpa menafikan undi semua kaum dalam masyarakat majmuk di negara ini.
Menurutnya PAS wajib menguasai undi orang Melayu Islam dan menyampaikan mesej dakwah kepada semua lapisan masyarakat ‘majmuk’ dinegara ini.
“Dalam masa yang sama wajib mengambil kira undi bukan Islam dari Dewan Himpunan Penyokong PAS [DHPP] yang setia,
“dan hendaklah mencari semua pihak dari parti, NGO Islam dan bukan Islam yang tidak bercanggah dengan akidah, dasar dan hala tuju PAS,”jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Nadwah Ulamak PAS Negeri Terengganu di Dewan Kompleks Tarbiyyah PAS Kuala Nerus [Komtaq] Pekan Batu Enam, di sini pada Sabu 16 Januari.
Katanya, walaupun pengundi Melayu Islam terkesan dengan harakah Taghrib [pembaratan] dan sekularisma tetapi masih ada dalam diri mereka kemanisan Iman, yang masih menjadi tonggak kekuatan Islam.
Perkara itu, tegasnya, perlu dipelihara oleh semua ahli dan penyokong PAS.
“Sabda Nabi SAW tiga perkara, sesiapa yang memilikinya menunjukkan dirinya ada kemanisan iman. Allah dan Rasul lebih dikasihi daripada yang lain.
“Mengasihi seseorang kerana Allah dan bencikan menjadi kufur setelah Allah menyelamatkannya daripada kekufuran itu laksana tidak suka kalau dicampak ke dalam api,”ujarnya.
Menurut Ustaz Abdul Hadi, sifat kebencian kepada kufur tetap wujud dalam diri orang-orang Melayu meski pun yang jahil agamanya.
“Ini [benci kufur] termasuk yang tidak beramal dan tidak berakhlak, walau pun mereka melakukan perkara yang membatalkan iman kerana kejahilannya. Adanya kebencian kepada kufur menandakan imannya masih ada lagi,” ujarnya.
Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan bahawa PAS wajib bertegak di atas undi Melayu Islam.
Dato Seri Abdul Hadi sekali lagi menegaskan PAS wajib mengambil kira statistik pengundi Melayu Islam yang tidak boleh berpecah.
“Sebarang undi Islam yang menghilangkan kuasa dan maruah Islam wajib dijauhkan dengan segala pengorbanan walau pun PAS terpaksa berjalan jauh untuk ke Putrajaya.
“Maka, PAS wajib Istiqamah dan terbuka menghulurkan tangan perdamaian terhadap semua pihak termasuk dengan yang paling bermusuh dengan konsep yang ditetapkan oleh Allah,” ujarnya.
Katanya, PAS wajib mengikut hala tuju yang ditetapkan oleh Allah bagi menegakkan Islam dan bekerjasama dengan cara yang ditunjuk oleh Allah dan Sunnah, dengan semua pihak yang tidak menghalang aqidah, dasar dan hala tuju PAS.
Hadir sama pada majlis itu Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Saiful Bahri Mamat, Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Dato Husain Awang dan ramai lagi.










