Oleh : KAM
MARANG – Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan ketegasannya, beliau tidak terikat atau bergantung kepada mana-mana pihak untuk hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, yang dijadualkan pada 8 Februari ini.
Beliau berkata, ia terpulang kepadanya sama ada hadir atau sebaliknya pada mesyuarat Pakatan Rakyat tersebut.
Kata beliau, tidak ada mana-mana pihak yang berhak bagi menentukan kehadirannya itu.


“Tengok hari mesyuarat inilah saya hadir ke tidak hadir. Saya tak bergantung dengan sesiapa saya nak hadir,” jelasnya kepada pihak media selepas menyampaikan kuliah mingguan pagi Jumaat di kediamannya Kampung Rusila, Marang hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi balas desakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mahukan Presiden PAS itu hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, Ahad depan.
Sehubungan itu, Ustaz Abdul Hadi turut menafikan dakwaan beliau banyak kali tidak hadir ke mesyuarat berkenaan berbanding dengan pimpinan lain.
Bahkan, katanya pihak terbabit boleh melihat rekod kehadiran ahli-ahli mesyuarat majlis berkenaan bagi menentukan kebenaran dakwaan tersebut.
“Cuma saya rasa bangga, saya lebih banyak hadir mesyuarat dari Lim Guan Eng, kecuali (ketika) saya sakit dulu.
“Kalau kata saya banyak tak hadir mesyuarat (pakatan rakyat) itu tak betul, kena ‘check’ kehadiranlah siapa (pemimpin) paling banyak tidak hadir mesyuarat,” jelasnya.
Selain itu, kata Dato’ Seri Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, isu pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merupakan masalah lama.


“Masalah yang ditimbulkan itu masalah lama dan (isu) pilihan raya Majlis Perbandaran ini sikap PAS sejak tahun 70-an lagi tidak setuju dengan (pilihan raya) Majlis Perbandaran (kerajaan tempatan).
“(ketika) Sampai kita (PAS) masuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU), sehingga kita masuk Barisan Alternatif (BA) dan (sekarang) masuk Pakatan Rakyat, daripada awal (tidak setuju) dan bukan perkara barulah.
“Kita (PAS) hendak jaga semua (rakyat) dan bukan hendak jaga penduduk bandar sahaja,” tegasnya.
Ketika ditanya apakah melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat kali ini boleh menyelesaikan pertelingkahan antara PAS dengan DAP.
Menurut Ustaz Abdul Hadi, semua pihak dalam Pakatan Rakyat perlu memainkan peranan pro-aktif bagi memulihkan keadaan dan bukan hanya kepada PAS sahaja.
“Itu (pertelingkahan) kena semua pihaklah (dalam Pakatan Rakyat) tak boleh kita (PAS) sahaja,” ujarnya .
http://youtu.be/HwYDo3smmyI


























