Terima Kasih Beri RM5K Kepada Warga Felda, Jangan Lupa Kerajaan PAS Beri Tanah

2485

Tahniah peneroka Felda atas agihan durian runtuh. Harap dahan pokok durian yang runtuh itu akan menumbuhkan tunas baru dan berbuah semula. Kalau runtuh dan tak tumbuh tunas baru, bimbang tahun depan durian tak berbuah lagi.

Sepanjang saya ‘survey’ tanya khabar dengan peneroka Felda Selasih di Jabi, tak ada peneroka yang tanya “Felda bagi 5k, apa yang PAS boleh bagi??” Sebab mereka dah cukup faham bahawa PAS bukan kerajaan. Malah kata mereka sepatutnya hak kami untuk dapat lebih banyak lagi.

Seorang tua peneroka asal Felda Selasih berkata, “Apa yang kami dapat dari Felda selama ini, semua kami bayar. Tak ada yang diberi percuma oleh Felda. Walau hanya sebuah kereta sorong dan sebilah sabit yang Felda bagi kepada kami, semua masuk dalam penyata dan kami bayar.”

Saya yang bukan anak peneroka boleh memahami apa yang ingin disampaikan oleh peneroka tua tersebut. Walau Felda dah berimejkan sebuah syarikat konglomerat, ia tak dapat lari dari jasa dan bakti seorang peneroka tua seperti beliau.

Masyarakat Felda dah semakin sedar apa hak mereka. Apatah lagi dalam konteks Felda Selasih, di dalam Dewan Undangan Negeri Jabi, Terengganu. Sebahagian besar geran tanah mereka bertarikh tahun 2003. Mungkin ada orang terlupa bahawa tahun 2003 ialah zaman Kerajaan PAS Terengganu.

‘Kot’ ada orang yang tak tahu maka sukacita saya maklumkan bahawa walau siapa pun yang duduk di Negeri Terengganu atau di mana-mana negeri, kuasa untuk bagi geran hak milik tanah ialah kuasa kerajaan negeri. Kalau Perdana Menteri Malaysia atau Presiden Donald Trump sekalipun mari duduk di Terengganu, kuasa untuk bagi geran hak milik tanah tetap kuasa Kerajaan Terengganu. Jangan ingat geran tanah Felda diberi oleh Felda dan atas geran tersebut ada logo Felda.

Durian runtuh RM5k pemberian Felda perlu disyukuri dan diucapkan terima kasih. Tapi jangan lupa juga jasa Kerajaan PAS Terengganu memberikan hak milik tanah kepada lebih 150 keluarga peneroka di Felda Selasih. Biarlah kita jadi insan yang tahu berterima kasih.

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
24 Julai 2017