KOTA BHARU – Terengganu telah diisytiharkan sebagai tuan rumah bagi Muktamar ke-73 pada tahun 2027 nanti setelah tawaran yang telah dihulurkan oleh perwakilan Terengganu dalam perbahasan ucapan dasar Presiden semalam diterima PAS Pusat.
Bagi menghormati pilihan PAS Pusat itu, YB Dato’ Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah telah dijemput oleh Pengerusi Tetap Muktamar PAS Pusat untuk memberikan ucapan alu-aluan kepada bakal-bakal perwakilan ke Terengganu nanti.
Dalam ucapannya, Dato’ Wan Sukairi dengan berbesar hati mengajak semua perwakilan untuk menyiapkan segera jadual percutian mereka di Terengganu nanti dan tidak hanya datang untuk bermuktamar sahaja.
“Bagi pihak Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, saya mengucapkan ahlan wa sahlan wa marhaban bikum kepada seluruh bakal perwakilan dan pemerhati yang bakal datang ke Terengganu nanti, negeri yang paling bahagia di Malaysia.
“Dan saya berharap agar pihak PAS Pusat dapat memberikan tarikh yang lebih awal kepada semua para perwakilan dan pemerhati supaya para perwakilan dan pemerhati dapat membuat perancangan untuk bercuti di negeri Terengganu.
“Kalau boleh sebelum muktamar, bercuti di Terengganu ataupun selepas muktamarpun boleh bercuti di negeri Terengganu”, kata beliau sebagai alu-aluan kepada semua yang bakal hadir nanti.
Terengganu kata Dato’ Wan Sukairi, mempunyai pantai yang indah sepanjang 240 km dari Kemaman hingga ke Besut dengan tujuh daripada daerah di Terengganu terletak di tepi pantai.
Menurutnya, ada lebih 20 buah pulau yang perlu dilawati oleh perwakilan, dalam usaha beliau mempromosikan keindahan negeri Terengganu dan sebagai negeri paling bahagia sebagaimana gelaran yang diberikan oleh Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) pada 2004 lalu.
Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), merakamkan ucapan terima kasih atas pemilihan itu oleh PAS Pusat dan berjanji akan melakukan yang terbaik bagi melancarkan perjalanan muktamar nanti.





























