Selepas hampir sembilan tahun, perang yang bertujuan mengguling pemimpin Iraq, Saddam Hussein, itu telah menyebabkan 4,500 askar Amerika terkorban, 32,000 lagi cedera dan lebih AS$800 bilion ($1 trilion) dihabiskan.
Sekitar 4,000 askar Amerika yang kini masih berada di Iraq akan mula kembali ke tanah air dalam tempoh beberapa hari mendatang.
Sebelum ini, terdapat lebih 170,000 askar Amerika di lebih 500 pangkalan di serata Iraq.
‘Kami telah mengalami banyak pertumpahan darah. Tetapi ini semua tidak sia-sia. Ia bertujuan mencapai misi mewujudkan sebuah negara yang bebas dan berdaulat dan mampu memerintah dan menjaga keselamatannya sendiri,’ kata Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Leon Panetta, di upacara simbolik menurunkan bendera negara itu berdekatan lapangan terbang Baghdad.
[Gambar – KETUA pasukan tentera Amerika Syarikat di Iraq, Leftenan Jeneral Lloyd Austin (dua dari kiri), melipat bendera pasukan itu dalam satu upacara menandakan berakhirnya misi negara itu di Iraq.]
Beliau menambah: ‘Iraq akan dicabar dalam hari-hari mendatang – oleh pengganasan dan oleh mereka yang ingin memecah-belahnya; oleh isu ekonomi dan sosial; oleh tuntutan demokrasi itu sendiri.’
Bagaimanapun, Encik Panetta menegaskan Amerika ‘akan berdiri bersama rakyat Iraq sedang mereka menangani cabaran-cabaran ini’.
‘Ini masanya untuk Iraq pandang ke hadapan. Ini satu peluang bagi Iraq maju bagi mencapai keselamatan dan kemakmuran. Kami memulakan peralihan hari ini dengan mengingatkan Iraq bahawa Amerika Syarikat merupakan rakan dan sekutu,’ katanya.
Mantan Presiden Amerika, Encik George W. Bush, mengarahkan pencerobohan Iraq pada Mac 2003 dengan alasan Saddam membentangkan ancaman kepada dunia kerana mempunyai senjata pemusnah raya.
Saddam ditahan dan kemudian dihukum gantung. Namun, senjata pemusnah raya yang didakwa wujud itu tidak pernah dijumpai di Iraq.
Sejak itu, lebih 100,000 rakyat Iraq terkorban ekoran keganasan puak yang tercetus.
Semasa berkempen sebelum dipilih sebagai Presiden, Encik Barack Obama telah berjanji akan menghentikan perang itu.
Kini, Iraq mempunyai Parlimen dan dipimpin oleh pemerintah yang diketuai oleh puak Syiah bagi menggantikan rejim Sunni di bawah Saddam.
‘Saya gembira mereka akan berundur. Ini negara saya dan mereka harus berundur. Bagaimanapun, saya bimbang kerana semua anggota militia akan mula kembali,’ kata seorang rakyat Iraq, Encik Samer Saad. — AFP, AP, Reuters.