Tengku Paduka Gesa SPRM Siasat Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu

4515

Oleh : KAM

KUALA TERENGGANU – Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (TAWNT) yang ditubuhkan sejak 25 tahun lalu pada tahun 1990 (pindaan baharu 1996), kini diragui lembaga pengurusannya.

Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menubuhkan TAWNT menurut Enakmen Tabung Warisan Negeri (pindaan) 1990, menetapkan kerajaan negeri semasa dikehendaki membayar sebanyak RM30 juta atau 15 peratus dan mana yang lebih tinggi hasil dari terimaan bayaran royalti Petroleum dan Gas, kepada tabung tersebut.

Keraguan timbul apabila kerajaan negeri telah gagal menyediakan laporan pengurusan kewangan tabung tersebut termasuk kepada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Tabung Amanah itu, mengikut Seksyen 4(2) perlu melantik Lembaga Pemegang Amanah terdiri dari Menteri Besar selaku Pengerusi Lembaga dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sebagai Timbalannya.

Seorang Penasihat Undang-undang Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Dua orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan tidak melebihi empat orang lain yang mempunyai pengalaman luas dalam perniagaan atau kewangan yang dilantik Pihak Berkuasa Negeri.

Mereka (Ahli Lembaga) itu dibayar apa-apa elaun, termasuk elaun perjalanan dan elaun sara hidup sebagaimana yang ditentukan oleh Pihak Berkuasa Negeri dari semasa ke semasa.

Namun begitu, menurut sumber berkenaan pihak Lembaga TAWNT tidak pernah dilantik dan segala pengurusannya hanya dilakukan oleh seorang Menteri Besar.

Ia adalah satu perkara yang amat serius kerana Menteri Besar yang mentadbir secara autokratik (mutlak) TAWNT tidak mematuhi Seksyen 11(3).

Pihak pengurusan sepatutnya perlu menyediakan salinan akaun audit tahunan dan dibentangkan kepada DUN Terengganu.
Laporan penyata kewangan, maklumat aset dan aktiviti tabung perlu diberi kepada Pihak Berkuasa Negeri beserta dengan salinan yang dikeluarkan Ketua Audit Negara menurut Seksyen 13.

Lembaga hendaklah memberi kepada Pihak Berkuasa Negeri apa-apa penyata, akaun atau lain-lain maklumat berkenaan dengan aset dan aktiviti tabung sebagaimana yang dikehendakinya dari semasa ke semasa.

Pada akhir setiap tahun kewangan dan sebaik sahaja akaun tabung telah diauditkan, Lembaga hendaklah menyediakan satu salinan penyata akaun yang dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Negeri, beserta satu salinan pemerhatian yang dibuat oleh Ketua Audit Negara atau mana-mana penyata akaun atau atas akaun-akaun amnya.

tengku1 (2)Pihak Berkuasa Negeri hendaklah menyediakan satu salinan akaun teraudit tahunan di bawah Seksyen 12 yang diterima olehnya dan dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu.

Sehingga kini, selepas 25 tahun TAWNT ditubuhkan tidak ada satu laporan beraudit dibentangkan di Dun Terengganu.
Sehubungan itu, Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah mahukan satu siasatan diadakan berhubung kait dengan pentadbiran dan urusniaga TAWNT sejak ditubuhkan.

Katanya, tabung amanah warisan itu diwujudkan oleh kerajaan negeri bagi simpanan generasi akan datang.
Justeru, kata beliau rakyat mahu tahu berapakah wang simpanan yang berada dalam TAWNT itu sejak ditubuhkan 25 tahun lalu.

“Saya minta pihak berkuasa SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) pro-aktif untuk menyiasat, jika wujud laporan mengenai penyelewengan dalam pengurusan wang Tabung Amanah Warisan Negeri itu.

“Konsep penubuhan TAWNT itu pada asalnya adalah baik iaitu untuk generasi muda akan datang dapat menikmati hasil wang petroleum di negeri bertuaah ini.

“Tapi, jika simpanan (tabung) itu ‘bocor’ dan tidak bertambah…ini amat merugikan dan tidak patut berlaku kepada negeri ini,” tegasnya ketika ditemui, di pejabatnya dekat sini, Ahad 6 April.

Tengku Ibrahim menegaskan pihak berkuasa Kewangan Negeri hendaklah bertanggungjawab dengan pentadbiran dan pengurusan hal ehwal tabung berkenaan.

Beliau turut melahirkan rasa kesangsiannya apabila Enakmen memperuntukkan perlantikan 10 orang ahli Lembaga Pemegang Amanah dipatuhi.

“Nampaknya, Enakmen yang memperuntukkan perlantikan 10 orang ahli Lembaga Pemegang Amanah (TAWNT) tetapi ianya tidak dilantik mengikut Enakmen.

“Tapi hanya Menteri Besar seorang yang mentadbir TAWNT ini. (Jadi) bermacam-macam perkara boleh berlaku mengikut polisi ‘tepuk dada tanya selera’. Ini yang saya bimbang,” ujarnya.

Tengku Ibrahim turut mendakwa pengurusan tabung tersebut amat teruk ketika era pemerintahan Dato’ Seri Ahmad Said menjadi MB Terengganu.

“Sebelum ini, (negeri) di bawah mantan MB Terengganu (Ahmad Said) telah menjalankan pentadbiran ‘kucar-kacir’ dalam pengurusan TAWNT.

“Saya harap SPRM dapat menjalankan penyiasatan yang rapi untuk menentukan urusniaga TAWNT dilakukan dengan betul dan telus demi menjaga wang rakyat dengan penuh tanggungjawab.

“Rakyat Terengganu dahagakan satu laporan yang terperinci dan telus dari SPRM demi menjaga wang rakyat dalam tabung (TAWNT) ini,” tegasnya yang mesra dengan panggilan ‘Kuduka’.

Menurutnya, pihak berkuasa SPRM wajar mengambil perhatian serius sebelum hasil negeri ‘hilang’ secara tidak sah.