Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) ingin mengingatkan pihak kerajaan dan seluruh jentera pentadbiran negara mengenai prinsip keadilan yang digariskan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ma’idah, ayat 8. Allah berfirman,
{ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ }
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu [Surah Al-Māʾidah: 8]
2. Ayat ini merupakan satu perintah mandatori daripada Allah SWT bahawa keadilan tidak boleh dipengaruhi oleh emosi, sentimen peribadi, mahupun perbezaan ideologi. Seseorang itu wajib dilayan dengan adil dan mengikut prosedur undang-undang yang betul, tanpa mengira sama ada kita menyukai mereka atau tidak, dan tanpa mengambil kira latar belakang atau kisah silam mereka.
3. DUPP melihat layanan yang diberikan kepada saudara Tamim Dahri dan saudara Zamri Vinoth mutakhir ini seolah-olah mengenepikan prinsip keadilan ini. Kerajaan dilihat seolah-olah sudah “menghukum” mereka sebelum proses mahkamah bermula dengan memberikan layanan seperti penjenayah berat. Tindakan menyekat Facebook, melakukan intimidasi terbuka, dan membina persepsi negatif seolah-olah mereka melarikan diri adalah satu bentuk kezaliman prosedur yang tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara demokrasi yang melaungkan prinsip ‘Madani’.
4. Keadilan bukan bermaksud menekan satu pihak dan memberi laluan karpet merah kepada pihak yang lain. Kita melihat bagaimana pihak yang terlibat dalam isu pencerobohan tanah dan pembinaan rumah ibadat haram diberikan ruang yang cukup lunak, malah perhimpunan mereka berdekatan kawasan PMO dibenarkan. Namun, apabila ia melibatkan aktivis Islam, kerajaan bertindak pantas dengan segala kekuatan yang ada seolah-olah mereka adalah ancaman besar kepada negara. Di manakah kebebasan suara yang dilaungkan oleh pihak kerajaan sebelum duduk di kerusi pemerintahan?
5. DUPP menegaskan bahawa teguran ini bukan semata-mata untuk mempertahankan individu, tetapi untuk mempertahankan integriti sistem keadilan negara. Kerajaan tidak boleh menggunakan kuasa untuk membuli rakyat atau memberi layanan buruk kepada mereka yang mempunyai pandangan berbeza. Kisah silam atau ketidaksukaan kerajaan terhadap seseorang tidak boleh dijadikan lesen untuk mencabul hak asasi dan kemuliaan insan (karamah insaniah) mereka.
6. Kami mendesak kerajaan agar menghentikan sikap dwi standard dan diskriminasi undang-undang.Pastikan pihak berkuasa bertindak secara profesional tanpa dipengaruhi oleh tekanan politik atau dendam peribadi. Hormatilah kedaulatan undang-undang yang berpaksikan keadilan sebenar, bukan sekadar mengikut selera pemerintah yang sedang berkuasa.
7. Ingatlah, ketaqwaan sesebuah kerajaan diukur melalui sejauh mana ia mampu berlaku adil kepada rakyatnya, termasuk kepada mereka yang paling tidak disukai oleh pemerintah itu sendiri.
YB USTAZ DATO’ MOHD NOR BIN HAMZAH
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
16 Mac 2026 Miladi bersamaan 26 Ramadan 1447 Hijri




























