KUALA NERUS – PAS Terengganu komited meneruskan tiga dekad perjuangan pendidikan Islam Dan menghargai perngobanan para guru dan tenaga kerja sekolah-sekolah agama rakyat ( DAR) terbabit.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Husain Awang berkata, usaha menyantuni golongan tersebut telah dimulakan sejak beliau memegang amanah sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS negeri.
“Maka tidak mungkin apabila saya menjadi Pesuruhjaya, usaha ini dihentikan. Bahkan ia mesti diteruskan.” tegasnya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Sumbangan Hari Raya 2026 Guru-Guru dan Kakitangan DAR Negeri Terengganu, semalam.
Menurutnya, majlis ini melibatkan 17 institusi pendidikan DAR iaitu, KUDQI, MDQ, DAR Taqwa Batu 6, DAR Taqwa Kemaman, Darul Salam, Darul Ehsan, Darul Bayan, SRABZA, Darul Iman, Dar Ulum, Darul Falah, Darul Furqan, SRIDAR, SRIDQ, SRAIDAQ Jerangau, SRI Darul Annur dan Darul Abrar.
Dalam Majlis sama, Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu, Prof. Madya Dr. Wan Mat Wan Sulaiman memaklumkan bahawa usaha memperkasa institusi DAR akan terus dipertingkatkan melalui pelbagai inisiatif pembangunan pendidikan.


“Seminar Pemerkasaan DAR telah diadakan pada Februari lalu bagi memastikan kelangsungan pendidikan dan tarbiah generasi muda Terengganu khususnya dalam kalangan ahli jemaah.” jelasnya.
Manakala Pengarah Jawatankuasa Dana Pendidikan 2026, YB Ustaz Haji Hishamuddin Abdul Karim menjelaskan bahawa program ini merupakan cetusan idea daripada Pesuruhjaya PAS Terengganu sendiri.
“Dana yang digunakan datang sepenuhnya daripada sumbangan pelbagai peringkat kepimpinan dan ahli jemaah.


“kutipan dana pada tahun ini menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan khususnya di peringkat cawangan.” katanya
Menurut beliau, jumlah sumbangan daripada cawangan meningkat hampir empat kali ganda berbanding sebelum ini, dengan Kuala Nerus mencatatkan sumbangan tertinggi.
“Secara keseluruhan, Dana Pendidikan 2026 berjaya mengumpulkan sebanyak RM834,839, manakala jumlah keseluruhan agihan kepada guru dan kakitangan institusi pendidikan DAR dan PASTI mencecah RM843,400.
“umbangan tersebut melibatkan 763 guru DAR dan 1,573 guru PASTI. Sumbangan ini disalurkan sebagai tanda penghargaan kepada para guru dan kakitangan yang telah berkhidmat mendidik generasi muda dalam sistem pendidikan Islam di negeri Terengganu.” tambahnya.


Justeru Menurut beliau, program ini juga membuktikan bahawa Dana Pendidikan DAR digerakkan sepenuhnya melalui sumbangan ahli jemaah sendiri, sebagai manifestasi komitmen terhadap pembangunan pendidikan Islam dan kesinambungan tarbiah generasi akan datang.
“Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPNT) khususnya Dewan Ulamak Pas Negeri Terengganu (DUPNT) berharap agar sumbangan ini dapat memberi keceriaan serta motivasi kepada para guru dan kakitangan yang telah banyak berjasa dalam mendidik anak-anak Terengganu di seluruh institusi pendidikan DAR,” ujarnya lagi



























