KUALA TERENGGANU – PAS Kawasan Setiu menegaskan pendirian membantah kehadiran, Donald Trump ke Malaysia, sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin yang masih berdepan penindasan rejim zionis Israel.
Ketua Penerangan PAS Kawasan Setiu, Ustaz Abdul Hadi Mohamad berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS) itu tidak wajar diterima kerana dasar luar AS di bawah pentadbiran beliau banyak memihak Israel dan menjejaskan keamanan di rantau Asia Barat.
“Disaat saudara kita di Bumi Gaza berjuang, kita di Malaysia wajib bersama mereka. Kita mesti bangkit membela dan memberi sokongan!
“Kita tidak rela bersekongkol dengan sesiapa pun yang bekerjasama dengan rejim Zionis Israel,.
“Ingatlah, kita akan bertanggungjawab di hadapan Allah SWT, jika kita bersekongkol dengan musuh Allah,” tegasnya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Ustaz Hadi, isu ini bukan semata-mata politik, tetapi menyentuh maruah dan tanggungjawab umat Islam terhadap Palestin.
“Oleh yang demikian, PAS Kawasan Setiu membantah sekeras-kerasnya kehadiran Trump ke Malaysia, dan kami mendesak agar Kerajaan Malaysia membatalkan kehadiran beliau dengan serta-merta,” ujarnya.
Justeru itu, beliau menyeru kepada seluruh rakyat negeri Terengganu dan Setiu khususnya turun menyertai himpunan aman yang dijadual diadakan pada 24 Oktober ini di Menara Tabung Haji menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat.
“Ia sebagai tanda sokongan moral kepada rakyat Palestin yang masih berjuang mempertahankan tanah air mereka.
“Tegakkan kebenaran, bangkitkan solidariti, dan bantah kezaliman,” jelasnya.