Tangguhkan Kenaikan Cukai Pintu

1005

Saya ingin menggesa pihak kementerian dan DBKL mengambil inisiatif untuk menjelaskan secara terperinci justifikasi cadangan kenaikan cukai pintu di laman media cetak dan elektronik sebagai respon daripada 153,187 surat bantahan yang telah dilakukan daripada pemilik hartanah.

Inisiatif ini perlu disebabkan sesi pendengaran yang dilakukan oleh pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL tidak mendapat respon yang positif dikalangan rakyat. Daripada rekod yang didedahkan, hanya seramai 23,000 orang sahaja yang telah hadir. Mungkin juga ia dianggap sebagai simbolik protes dikalangan rakyat.

Terlebih dahulu, saya ingin merujuk kepada Ucapan Bajet DBKL 2014 yang telah dibentangkan pada 24 Disember 2013. Ekoran daripada prestasi kewangan 2012 yang telah diaudit, sewajarnya ia harus mengimbangi anggaran bajet defisit sebanyak RM 292.7 juta pada tahun ini.

Ir Khairil Nizam KahiruddinMalah, jika ia dilakukan dengan lebih pruden, DBKL boleh menyediakan bajet berimbang kerana mampu menjana hasil selain daripada cukai taksiran melebihi RM 1 bilion. Ini kerana Kerajaan Pusat telah memberi komitmen utama untuk menyalurkan peruntukan bagi menjayakan agenda RMK-10, NKRA dan Greater KL.

Ini tidak termasuk langkah amalan penjimatan dan perbelanjaan berdasarkan kepentingan prioriti yang harus diambil kira dalam peruntukan pembangunan. Contohnya, DBKL memperuntukkan RM 16.55 juta untuk pertunjukan kebudayaan dan persembahan muzik berbanding RM 2.21 juta sahaja untuk kegiatan sukan dan rekreasi.

Begitu juga sejumlah RM 86.23 juta untuk menyediakan kemudahan dan menaiktaraf Taman Botani Negara, taman-taman rekreasi, landskap dan pembinaan gelanggang futsal serta padang bola berbanding hanya RM 71.5 juta untuk mempertingkatkan sistem lalulintas, pejalan kaki, sistem letak kereta dan hentian pengangkutan awam yang sebenarnya menjadi masalah utama warga Kuala Lumpur yang masih belum diselesaikan. Lihat sahaja bagaimana isu pendedahan audit terhadap Projek Taman Dusun Bandar yang merugikan.

Daripada prestasi kewangan dan pengagihan peruntukan tersebut, saya melihat ketidakcekapan yang berlaku sehingga memaksa warga Kuala Lumpur membayar lebih tinggi kadar cukai taksiran pada tahun ini untuk menambah jumlah hasil DBKL yang diprojekkan kira-kira RM 200 juta setahun. Ini menunjukkan jika kewangan dapat dikawal dengan lebih baik, kenaikan kadar cukai tidak perlu dilakukan atau sekurang-kurangnya dapat menjimatkan lebih 70% penggunaan rezab pembangunan.

Oleh itu, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berpendirian bahawa cukai pintu tidak perlu dinaikkan pada tahun ini disebabkan oleh beberapa faktor antaranya bebanan kewangan semasa warga Kuala Lumpur terutamanya golongan sederhana dan miskin bandar, ketidakcekapan pengurusan kewangan DBKL dan ketiadaan maklumat terperinci kedudukan kewangan semasa DBKL.

Yang Benar,
Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin,
Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan