PAS menuntut penjelasan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung penangguhan dakwaan rasuah bekas setiausaha politik kepada bekas menteri Kabinet dan pengarah sebuah syarikat.
Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kes itu pelik kerana Peguam Negara masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga kini.
“Pada saya kes ini agak pelik apabila Peguam Negara tidak mengeluarkan sebarang kenyataan selepas daripada kedua-duanya ini diikat jamin.
“Ini bermakna, apabila mereka diikat jamin, ada kes yang bakal dibawa dan diakui oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) selepas daripada siasatan rapi dibuat atas kedua-duanya,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung Pas Pusat di sini, semalam.


Menurut Mahfuz, SPRM menyebut kedua-duanya akan didakwa pada 29 Januari lalu namun tiada dakwaan dibuat sehingga ke hari ini.
“Saya minta supaya AG mesti beri penjelasan berhubung perkara ini. Adakah kes ini dilewat-lewatkan kerana siasatan itu mendapati bahawa kes ini akan menyeret bekas menteri itu sekali atau mana-mana pemimpin politik lain yang turut terlibat dalam kes ini?,” katanya.
SPRM, dalam kenyataan sebelum ini berkata seorang bekas setiausaha politik bergelar Datuk, dan pengarah sebuah daripada yayasan yang diketuai oleh Datuk berkenaan, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Kanun Keseksaan atas tuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM1.1 juta dan satu lagi tuduhan menipu membabitkan RM1 juta.
Panel itu berkata ia akan meminta penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara tentang mengapa masih tiada dakwaan dibuat.




























