Tamatkan Hubungan Dengan ‘Hadi’???

774

Kalau Hadi yang dimaksudkan adalah Dato Seri Abdul Hadi Awang, maka hamba Allah yang bernama Hadi tersebut adalah Presiden PAS!

Apa makna tamatkan kerjasama dengan Hadi kalau bukan bermakna tamatkan kerjasama dengan PAS? Atau DAP akan berhubung dan membuat keputusan dengan individu lain bagi mewakili PAS? Kalau betul begitu, siapakah individu itu dan atas kapasiti dan mandat apa dia akan berhubung dengan DAP bagi mewakili PAS?

Saya sejak dulu, kini dan akan datang insyaAllah teguh di belakang Hadi! Bukan kerana nama dia Hadi tetapi kerana dia memimpin gerakan Islam yang saya dokong dan mempertahankan kebenaran Islam sekalipun tak disukai oleh kawan dan lawan.

Kalau melihat kepada ratusan ribu hadirin yang hadir ke Ijtima Antarabangsa Perpaduan Ummah, saya yakin bahawa pendirian saya ini adalah isi hati yang sama dengan ratusan ribu malah mungkin jutaan pencinta kebenaran di atas muka bumi Malaysia ini.

Saya belajar sirah dan sejarah jatuh bangun perjuangan Islam dengan agak mendalam. Di dalamnya saya temui fakta bahawa kebenaran ini tak disukai oleh orang-orang kafir dan mereka yang memiliki hati yang berpenyakit.

Kita tak boleh selamanya nak berkompromi dengan syariat Allah demi menjaga hati mereka yang tak beriman kepada Allah.

Memang nak menegakkan kebenaran adalah pahit. Saya bersedia untuk mendengar keputusan pimpinan tertinggi dalam hal ini dengan kepatuhan dan ketaatan sekalipun ianya pahit.

-Azman Ibrahim
24/3/2015
No. Ahli PAS: 0918900