Oleh : Suhaimi Taib
KUALA TERENGGANU – Ustaz Mohd. Nor menyifatkan jawapan dan penafian tersebut hanya untuk meredakan keadaan dengan harappan, rakyat akan melupakannya.
Bagaimanapun katanya, zaman sudah berubah dan rakyat kini tidak lagi mudah diperdayakan oleh jawapan dan penafian yang tidak realistik itu.
“PAS Terengganu hanya meminta Dato’ Seri Menteri Besar, membuka peluang soalan berkenaan isu TIT ini secara terbuka tanpa menipu rakyat Terengganu.
“Berapa lama soalan rasmi berkaitannya tidak dijawab kerana ditolak mentah-mentah oleh DUN Terengganu pada September 2015 dan Mac 2016 tanpa alasan yang konkrit,” katanya.
PAS Terengganu pernah mengemukakan soalan berkaitan Taman Ilmu Terengganu (TIT) Di persidangan DUN tetapi ia ditolak dengan alasan tertentu yang boleh dibuat oleh pihak kerajaan.
Antara soalan yang dikemukakan ialah mengapa Projek TIT yang dilaksanakan di bawah ECER (kerajaan Pusat), tetapi menggunakan lebih RM400 juta wang rakyat Terengganu?
Syarikat POSC TI Sdn Bhd dan Razeedland Plaza Sdn Bhd dari Brunei telah memeterai kerjasama untuk melabur RM4 bilion bagi melaksanakan projek pembangunan Fasa 2 dan 3 dalam tempoh empat tahun.
“Kemanakah perginya pelaburan ini, dan apakah yang terjadi sebenarnya kepada kerjasama ini,” soal beliau.
Kata beliau, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekuttif POSC TI, Dr Abdullah Kamil Fikri menyatakan sebagaimana dalam teganuku.blogspot.my bahawa beliau dimaklumkan universiti yang beroperasi di TIT adalah dari China, Jepun, Korea, New Zealand, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) yang akan membuka cawangan mereka di taman itu.
“Sekurang-kurangnya sebuah universiti dijangka mula beroperasi pada September atau Januari tahun 2014.
“Tetapi sekarang sudah masuk tahun 2017, kemanakah perginya universiti-universiti yang didakwa akan beroperasi itu,” soal beliau lagi.
Adakah perlu kerajaan Negeri Terengganu, menggunakan kembali khidmat Dato’ Seri Idris Jusoh bagi mendapatkan semula peserta-peserta ke TIT setelah ternyata menteri besar itu gagal sekaligus menyebabkan TIT itu terbengkalai sehingga kini?
Apakah yang sebenarnya berlaku kepada sebuah blok bangunan di dalam kawasan TIT yang didakwa terpaksa dirobohkan setelah ia dibina?
Berapakah pula kos yang bakal dikeluarkan menggunakan wang rakyat Terengganu bagi membaik pulih beberapa prasarana di TIT yang rosak?
Bagaimana kerajaan boleh menyediakan tanah sebegitu luas untuk projek TIT itu, dimasa yang sama, kerajaan negeri telah menyerahkan satu kawasan yang luas di Bukit Kor, Marang untuk pembangunan Pusat Pengajian Tinggi (IPT) sebagaimana yang dinyatakan dalam persidangan DUN Terengganu pada 8 September 2015?
Antara IPT yang disenaraikan termasuk Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institusi Latihan Kemahiran SAFA, Open University Malaysia (UNITEM), Akademi Caddcam Sdn. Bhd, Nilam Healthcare Educationvi.Kolej Teras Timur dan Cosmo Mercantile Sdn.Bhd.
Apakah perkataan sesuai yang boleh guna selain ‘terbengkalai’ apabila projek yang sepatutnya siap bertahun-tahun yang lalu, tetapi gagal direalisasikan mengikut perancangan asal?
“Malah pelabur turut tidak sudi datang sehinggakan infrastruktur yang dibina menggunakan wang rakyat Terengganu turut rosak,” kata Ustaz Mohd. Nor.
Beliau berkata, jika persoalan itu gagal dijawab, maka janji menteri besar itu bahawa TIT mula beroperasi pada Oktober tahun ini, hanya satu kenyataan bagaikan lepas batuk di tangga sahaja dan perlu diabaikan.
Taman Ilmu; Abaikan Janji Manis MB Terengganu (Bahagian 1)