KUALA NERUS – Entah apa pula masalah yang menimpa kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) negeri Terengganu, sehinggakan segugusan rumah pangsa mampu milik di Taman Batin Perdana, Seberang Takir, dekat sini masih belum diduduki.
Menurut Pengerusi Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) PAS Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang, rumah tersebut mula dibahagikan kepada pemohon yang berjaya pada Mac lalu.
“Saya dapat maklumat, rumah ini mula dibahagikan kepada pemohon yang berjaya pada bulan April lalu. Beberapa bulan lalu majlis penyerahan surat tawaran oleh Menteri Besar ketika itu telah diadakan,
“tetapi untuk sebahagian pemohon yang berjaya sahaja,”ujarnya ketika ditemui.
Namun sehingga kini, beliau yang juga Penolong Setiausaha PAS Terengganu berkata, rumah tersebut sebaliknya masih belum diserahkan kepada pemohon yang berjaya.
“Dengar cerita harga yang ditawarkan sangat tinggi sehingga tidak mampu untuk dibayar secara bulanan oleh pemohon yang berjaya……..katanya kerajaan sedang runding untuk meletakkan harga baru,”katanya lagi.
Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kumpulan Pertama Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Taman Batin Perdana, Seberang Takir, Kuala Terengganu telah disempurnakan oleh bekas Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad bin Said, pada 6 Mac 2014 bertempat di Dewan Taman Batin Perdana, Seberang Takir.
Seramai 92 orang telah menerima surat tawaran dalam majlis tersebut. Dengan kos pembinaan RM101.8 juta bagi pembinaan 19 blok 4 tingkat di kawasan seluas 17 hektar, sebanyak 722 unit rumah dapat disediakan untuk kemudahan rakyat dan menjadikan projek terbesar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri setakat ini.
Kawasan perumahan yang setiap sebuah rumahnya berkeluasan 750 kaki persegi mempunyai 3 bilik tidur dan 2 bilik air, kini sunyi sepi.
Dalam tinjauan yang dibuat, bahkan mendapati persekitaran Taman tersebut mula ditumbuhi oleh pohon-pohon liar, rerumput yang panjang dan menjalar, sehingga sudah menjadi semak samun.
Sebuah bangunan rumah pangsa itu juga dapat dilihat, atapnya rosak dan keseluruhan pintu masuk ke dalam setiap bangunan ditutup dengan papan lapis.
Mengulas lanjut, Ustaz Zakaria berkata, sepatutnya isu harga tidak berbangkit kerana pihak kerajaan sepatutnya faham dgn kemampuan rakyat berpendapatan rendah untuk memiliki rumah tersebut.
“rumah tersebut dinamakan sebagai rumah mampu milik, isu harga tidak berbangkit dan sepatutnya ia telah diselesaikan lebih awal sejak perancangan untuk membina rumah tersebut,
“Masalahnya sekarang ialah keadaan rumah yang terbiar dan sudah ada yang rosak yang membawa kerugian kepada kerajaan sendiri dan pemiliknya nanti,”ujarnya lagi










