Menukil laporan yang akan diterbitkan Institut Khidmat Bersatu Diraja, akhbar Britain itu menyatakan pihak Taleban bertekad mahu berpisah daripada kumpulan Al-Qaeda, sebagai sebahagian syarat perjanjian dan terbuka bagi berunding mengenai pendidikan bagi kanak-kanak perempuan.
“Pihak Taleban terbuka kepada rundingan bagi melaksanakan gencatan senjata sebagai sebahagian daripada penyelesaian umum dan juga sebagai jambatan antara langkah membina keyakinan dan isu utama, iaitu pengagihan kuasa politik di Afghanistan,” nyata akhbar Guardian yang menukil laporan itu.
Institut Rusi menyatakan laporannya bertajuk “Perspektif Taleban mengenai Perdamaian” berdasarkan wawancara dengan empat anggota Taleban yang tidak dinamakan.
Dua daripada anggota yang diwawancara merupakan menteri dalam pemerintahan Taleban sebelum ini dan masih rapat dengan golongan dalaman pemimpin kumpulan itu.
Salah seorang anggota yang diwawancara, yang digambarkan sebagai anggota pengasas Taleban, berkata kumpulan itu mungkin menerima operasi antipengganasan terhadap Al-Qaeda yang berterusan oleh Amerika selagi pangkalan tempat serangan dilancarkan tidak digunakan sebagai landasan bagi melancarkan serangan terhadap negara lain atau campur tangan dalam politik Afghanistan.
Laporan itu menyatakan daripada pandangan pihak Taleban, sebarang gencatan senjata perlu wajar pada golongan Islam dan tidak boleh menggambarkan sebarang bentuk menyerah kalah.
Pihak Taleban telah lama menentang usaha berbincang dengan pentadbiran Encik Karzai dan tidak mengiktiraf perlembagaan Afghanistan yang diluluskan pada 2003 – Agensi