Takiyuddin Seru Ahli PAS Fokus 3M

5

KOTA BHARU – Seluruh perwakilan dan ahli PAS diseru memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pengisian Muktamar Tahunan PAS kali ke-72 berlandaskan konsep tiga ‘M’ iaitu Musyawarah, Muzakarah dan Muhasabah.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, ketiga-tiga elemen itu penting bagi memastikan perjalanan pengurusan dan aktiviti parti sentiasa dinilai serta diperbaiki.

Katanya, muktamar perlu menghasilkan natijah yang menjadikan PAS semakin mantap dan efektif dalam melaksanakan tanggungjawab perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air.

“Kita mahu muktamar ini memberikan natijah, parti kita menjadi semakin mantap dan efektif dalam melaksanakan tanggungjawab demi perjuangan suci untuk agama, bangsa dan tanah air,” katanya ketika berucap pada Muktamar Tahunan PAS Kali ke 72 di PUTIK, hari ini.

Sementara itu, PAS diingatkan supaya tidak leka dengan perkembangan dan pertambahan keahlian parti sebaliknya terus mengamalkan sikap sederhana, istiqamah dan berjemaah dalam melaksanakan perjuangan.

Ujarnya lagi, semakin besar sesebuah organisasi, semakin besar keperluan, tanggungjawab dan cabaran yang perlu dihadapi.

Katanya, perumpamaan “besar periuk, besarlah keraknya”, “besar kapal, besarlah gelombang” dan “semakin tinggi pokok, semakin kencang angin menerpa” wajar menjadi peringatan kepada seluruh pimpinan dan ahli PAS.

“Biarlah kita bersederhana, beristiqamah dan berjemaah dalam segenap aspek kehidupan perjuangan kita,” tambah beliau.