Tahaluf Siyasi PAS-PKR; Serah Kepada Perwakilan Muktamar

2569

Oleh : Suhaimi Taib

KUALA TERENGGANU – Pesuruhjaya PAS Terengganu, Haji Satiful Bahari Mamat berkata, usul PAS membatalkan tahalluf siyasi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), terserah kepada keputusan muktamar parti itu di Kota Sarang Semut, Kedah, akhir April dan 1 Mei nanti.

Beliau juga berkata, usul PAS putus hubungan dengan PKR Terengganu, juga akan diputuskan dalam muktamar berkenaan sebelum Majlis Syura Ulama membuat keputusan muktamad selepas itu.

Katanya, Badan Perhubungan PAS Negeri itu memberi ruang secukupnya kepada ahli akar umbi mengemukakan usul dalam mesyuarat agung kawasan masing-masing bagi menyatakan hasrat mereka dalam perkara tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pengamal media di Lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semasa dewan itu berhenti rehat pada pagi Selasa 28 Mac.

Katanya, usul-usul itu timbul berikutan terdapat pemimpin PKR melalui status Twitternya, mengejek kepimpinan tertentu PAS dan menunjukkan semangat tidak setiakawan antara parti itu dengan PAS.

Katanya, sebanyak empat kawasan termasuk Dungun, Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus menerima sebulat suara usul berkait perkara tersebut kerana ahli akar umbi mempunyai hak untuk mengemukakan usul berkait hubungan antara parti dengan parti, bukan hubungan antara kompenan anggota kerajaan seperti di Selangor.

Katanya, empat kawasan lain termasuk Kemaman, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu, tidak mengemukakan usul serupa kerana isu berkaitan timbul kemudian manakala mesyuarat agung masing-masing selesai terlebih dahulu.

“Usul-usul berkenaan akan dibahaskan dalam Muktamar PAS di Kedah akhir April dan 1 Mei ini, saya percaya perwakilan bijak membuat keputusan, sebelum Majlis Syura Ulama membuat keputusan selepas itu,” katanya.

Menurutnya, semua lapan kawasan parti itu telah selesai mengadakan mesyuarat agung masing-masing baru-baru ini.

Sementara itu Haji Satiful Bahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, mengulangi pendirian bahawa PAS negeri itu tetap akan bertanding di semua kerusi parlimen dan DUN di negeri tersebut.

Kerusi berkenaan termasuk lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN di seluruh negeri Terengganu.