Pergolakan yang bertukar peperangan Syria kini, sehingga kini telah mengorbankan lebih 16,500 orang orang awam, termasuk kanak-kanak dan kaum wanita.
Bashar Al-Assad, dengan sokongan Russia dan China, masih enggan berundur kerana tidak mahu menerima nasib yang serupa dengan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan pemimpin Libya, Muammar Ghaddafi, yang diguling rakyat.
Dalam kejadian terbaru di serata negara kelmarin, askar rejim Syria didakwa bertanggungjawab menyebabkan 95 orang terkorban – 68 orang awam, 24 askar pemerintah dan tiga pemberontak.
Sementara itu, Laman pembocor maklumat, WikiLeaks, kelmarin mendedahkan lebih dua juta emel pegawai kerajaan termasuk pelbagai kementerian di Syria yang bertarikh dari Ogos 2006 sehingga Mac lalu.
Antara kandungan emel tersebut mendakwa syarikat pertahanan gergasi Itali, Finmeccanica masih terus membekalkan alat komunikasi kepada rejim Presiden Bashar al-Assad selepas pergolakan tercetus pada Mac tahun lalu.
Selain itu, kandungan ribuan emel peribadi Asma, isteri kepada Assad yang menunjukkan dia berbelanja mewah secara dalam talian walaupun Syria sedang bergolak.