Oleh : Naraza Muda
Banyak pendapat mengatakan 1 Syawal kali ini jatuh pada hari Jumaat, penghulu segala hari, penuh dengan barakah.
Kesempatan ini, saya Naraza Muda, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Terengganu dengan rendah diri dan penuh kesyukuran mengambil ruang ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Eidilfitri kepada seluruh warga peneroka Felda di semua 21 tanah rancangan di Terengganu.
Buat pertama kalinya dalam sejarah Bumi Malaysia ini, kita warga Felda menyambut hari lebaran ini dengan keperitan dan tekanan untuk meneruskan persiapan hari raya dan hari kemenangan dengan GST.


Kini setelah hampir tiga tahun disenaraikan, ramai warga Felda sudah tiada selera untuk mengambil tahu harga semasa FGV, syarikat perladangan sawit terbesar negara ini.
Peneroka dijanjikan hanya enam bulan sahaja selepas penyenaraian, selepas itu proses menjual saham dan mendapat untung besar, namun sehingga hari ini lain pula jadinya, hampir 100ribu peneroka yang mendapat pinjaman bank untuk membiayai pembelian 800 unit saham terpaksa membayar pinjaman RM50 sebulan dalam masa enam tahun.
Ini secebis kisah sedih peneroka felda, semoga hari raya ini kita dapat melupakan seketika kehibaan dengan apa yang menimpa kita, angkara pemimpin negara yang rakus membaham laba hasil dari penyenaraian FGV.
Tahun ini juga KPF terpaksa membayar dividen 10 peratus dan terendah sejak ditubuhkan, selepas berada dikedudukan koperasi terbaik sejak beberapa tahun kebelankangan ini .Kehilangan pegangan ekuiti 51 peratus dalam Felda Holdings dan hasil pendapatan tunai ladang Felda Plantation 360,000 hektar, menyebabkan KPF menghadapi hari sukar ditambah pembelian aset terbaru ladang sawit di Samarahan yang 60 peratus tanah dari jenis gambut.


Dengan masalah hutang yang menghambat peneroka Felda di Terengganu, ada peneroka dibebani hutang mencecah RM140ribu, menambahkan lagi masalah kepada kita semua. Pengeluaran BTS yang jatuh mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan harga komoditi sawit yang tidak stabil mengiringi masalah di antara masalah yang membebani warga Felda.
Ada diantara 21 tanah rancangan Felda di Terengganu masih belum mendapat hak milik walaupun proses tanam semula sudah dilaksanakan dan telah menjadi peneroka hampir 30 tahun.
Projek sosial ekonomi untuk memberi pendapatan tambahan kepada belia felda dan generasi 2 boleh dikatakan sifar di negeri kita ini. Penghijrahan anak muda felda ke Kota sangat besar. Gejala sosial terutama penyalahgunaan najis dadah bagai tiada kesudahan . Pihak pengurusan Felda tidak pro aktif dalam membersihkan kawasan felda dari dadah.


Semoga agenda buku hijau yang diperkenalkan oleh Tun Razak L.K.T.P dapat dipertahankan, walaupun hampir mustahil dengan pemusnahan besar-besaran yang dibuat oleh anaknya sendiri, kata orang ” Ayahnya membina Felda, kini anaknya yang memusnahkan” Selamatkan Felda kita, tanah air kita dari kerangkusan Tan Sri Isa Samad dengan apa yang berbaki.
Akhir sekali, sama-samalah kita seluruh warga Peneroka Felda dan generasinya menyambut Hari kemenangan ini dengan memperkukuhkan silaturahim sesama kita, bermaaf-maafan, dan mengzahirkan kesedaran dengan perkembangan terkini yang melanda kita.Maaf zahir dan Batin.
***Naraza Muda ialah Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Terengganu
28 Ramadhan 1436 / 15 Julai 2015






























