KUALA TERENGGANU – Syarikat penerbangan Malaysia lain wajar ikuti jejak langkah AirAsia membenarkan kru kabinnya mengenakan pakaian menutup, menjadi penanda aras kepada semua syarikat penerbangan negara.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, industri penerbangan Malaysia seharusnya mempamerkan standard yang mencerminkan identiti nasional yang mementingkan nilai agama dan budaya, nilai yang mendasari negara ini.
“Saya mengucapkan tahniah dan menyambut baik pengumuman AirAsia berikutan keputusannya yang membenarkan kru kabinnya mengenakan pakaian menutup aurat bermula Ramadan akan dating,
“Keputusan ini bukan sahaja selaras tuntutan beragama dan juga keberkatan mencari nafkah diri, ia juga selari dengan realiti demografi negara di mana lebih 60 peratus warga Malaysia beragama Islam,
“tetapi juga mencerminkan kefahaman industri terhadap prinsip kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.” jelas beliau.
Dalam satu kenyataan media semalam, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, dalam konteks ekonomi moden, dasar inklusif yang menghormati keperluan agama dan budaya pekerja terbukti meningkatkan motivasi, kepuasan kerja serta imej korporat.
“Bukan sekadar baik dari sudut perkhidmatan semata-mata. Banyak syarikat global telah bergerak ke arah ‘faith-friendly workplace’ dan langkah AirAsia menempatkan Malaysia seiring dengan perkembangan tersebut.” tegas beliau.
Pada masa yang sama, tambah beliau, sudah tiba masanya industri menilai semula penyediaan minuman keras dalam penerbangan domestik.
“Selain pertimbangan keselamatan dan risiko gangguan dalam pesawat, negara-negara yang mempunyai norma sosial yang lebih konservatif telah pun mengehadkan atau menghentikan penyediaannya tanpa menjejaskan daya saing industri.
“Malaysia wajar mempertimbangkan pendekatan serupa, selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan kehendak majoriti pengguna tempatan.” katanya lagi.
Justeru kata beliau, keputusan AirAsia itu mencerminkan keberanian kepimpinan korporat yang peka terhadap nilai masyarakat.
“Saya merakamkan ucapan tahniah atas langkah proaktif ini dan berharap ia menjadi pemangkin kepada pembaharuan lebih luas dalam industri penerbangan negara.” ujar beliau lagi.




























