SUT70 : Merayakan Perjuangan Ahli PAS

246

DUNGUN – Sambutan Ulangtahun 70 tahun(SUT70) Parti Islam Se-Malaysia(PAS) adalah perayaan bagi menambah rasa cinta ahli parti kepada perjuangan yang panjang dan mesti dipertahankan.

Pengarah program, Ustaz Sheikh Hanafi Abdul Aziz menjelaskan ianya juga untuk memanaskan enjin perjuangan disamping menzahirkan kekuatan.

“Khususnya melenyapkan mitos kerajaan sepenggal…tanggungjawab kita untuk pecah rekod dan mempertahankan kemenangan untuk penggal kedua,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat program di Surau Tuan Guru Haji Zainal Abidin yang menjadi lokasi program.

“Rasionalnya kita mengadakannya di sini, PAS seluruh Negeri Terengganu ditubuhkan oleh Tuan Guru Haji Zainal Abidin,” kata beliau.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS kawasan tersebut, YB Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli mengalu-alukan semua warga Dungun khususnya dan rakyat Terengganu, memeriahkan program yang akan diadakan selama tiga hari, 26 hingga 28 Mei 2022.

“Pelbagai aktiviti menarik antaranya Kuliah Dhuha bersama Tan Sri Tuan Guru Presiden, Jamuan Raya PAS Kawasan Dungun dan Parlimen Dungun serta pelbagai acara untuk orang muda, kanak-kanak dan Muslimat.

“Hadiah-hadiah cabutan bertuah yang menarik iaitu kereta Axia dan tujuh buah motosikal, ” katanya semalam.