KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyarankan kerajaan negeri menyediakan satu perancangan strategik dan secara holistik dalam usaha mendaulatkan syariah dari semasa ke semasa.
“Beta menyeru semua umat Islam di negeri ini bersatu padu kerana hanya dengan perpaduan sahaja akan mampu mengekalkan kekuasaan Islam di Terengganu,” titah baginda ketika merasmikan sambutan tiga abad pentadbiran Islam di Kuala Terengganu, hari ini.
Baginda bertitah, institusi pentadbiran hal ehwal Islam sedang melalui proses penyusunan semula ke arah memperkasa pelaksanaan ajaran Islam dan maslahat ummah di negeri Terengganu.


Program selama lima hari itu adalah inisiatif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dalam menyambut ulang tahun ke-300 pentadbiran Islam dengan kewujudan institusi kesultanan Terengganu yang bermula pada tahun 1708.
“Beta berharap sambutan ini dapat memaparkan sejarah perkembangan syiar Islam di Terengganu kepada seluruh rakyat jelata dan orang luar Terengganu,” titah baginda. – Bernama





























