Sukarelawan PAS Lebih Efisien

560

Oleh : Nooreni Abu Bakar / Afiq Fahmi

DUNGUN – Sukarelawan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang kerap terlibat dengan kerja-kerja menyelamatkan mangsa-mangsa bencana alam telah didedahkan latihan profesional agar perkhidmatan mereka lebih efisien.

Yang Dipertua PAS Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata, apabila berlaku banjir wujud situasi yang kelam kabut disebabkan kekangan terutamanya kekurangan tenaga terlatih.

“Program ini akan memberi peluang seluas-luasnya kepada anak-anak muda untuk turut sama terlibat dengan panduan yang sewajarnya dalam operasi kemanusiaan ini.

” Semangat yang dimiliki oleh mereka perlu dipuji kerana sifat ikhlas mereka untuk meringankan beban agensi-agensi penyelamat ketika musim banjir melanda kelak,” ujarnya.

Wan Hassan berkata demikian ketika berucap merasmikan Latihan Pengukuhan Penyelamatan Menggunakan Bot dan Penyelamatan di Air peringkat Daerah Dungun di Tasik Puteri, Bandar Bukit Besi, di sini pada 30 Oktober lalu. .

Turut hadir di majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik, ADUN Rantau Abang, Alias Harun, Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Negeri Terengganu, Md Hilman Abdul Rashid. Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah(KETENGAH), Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa.

Sehubungan itu, Alias Harun berkata, program yang dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat itu sangat membantu sukarelawan PAS yang turut menyertainya seperti Jabatan Amal Malaysia (JAM) Dungun, Kelab Permotoran Alternatif serta Kelab Kebajikan dan Rekreasi Pacuan Empat Roda Dungun Terengganu (PADAT).

“Kalau sebelum ini mereka main redah sahaja tanpa memikirkan risiko, apabila diminta turun membantu kerja – kerja menyelamatkan, tetapi selepas mengikut latihan ini, mereka melakukannya dengan ilmu yang mereka telah pelajari,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Seorang pelatih yang ditemui, Muhammad Irham Che Ghani yang hadir mewakili ARC melahirkan rasa gembira dapat menyertai latihan tersebut.

” Saya pegang kata-kata jurulatih ketika latihan baru – baru ini, walaupun kita pandai berenang, tetapi kita tidak tahu tekniknya untuk menyelamatkan mangsa lemas, kita akan turut sama lemas,” katanya.