Sukaneka Merdeka Uji Kebolehan Riadah Golongan Hawa

170

Oleh : Fatimah Din

MARANG – Sukaneka PAS DUN Pengkalan Berangan telah berjaya menarik penyertaan lebih 50 orang peserta daripada kalangan kaum hawa yang juga berjaya menguji kebolehan masing-masing.

Rohani Ismail, 52, yang sentiasa menyertai program -program anjuran DUN sebelum ini turut menyertai acara boling ‘nyior’.

“Sebelum ini tidak pernah main boling, tapi tadi banyak juga botol jatuh semasa lempar buah kelapa, main untuk suka-suka” ceritanya.

Beliau ditemui acara sukaneka sempena Program Dirgahayu Negaraku Tercinta yang diadakan di Kampung Bukit Gading di sini pada Sabtu 7 September.

Antara acara-acara yang mengisi program sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat DUN Pengkalan Berangan itu ialah Langkah Merdeka Dirgahayu Negaraku, cabutan bertuah, gol penalti dan ‘jaringan’ terbanyak bola jaring.

Sementara itu bagi kategori wanita muda turut dipertandingkan jaringan terbanyak bola jaring dengan dibahagikan kepada kumpulan -kumpulan.

Pesertanya Nur Fatin Yusni, 34 yang sebelum ini tidak pernah menyertai aktiviti anjuran DUN berasa teruja dapat turut serta.

“Hari ini ikut serta sebab tinggalkan anak yang masuk aktiviti mewarna di masjid,” katanya.