Sudah tiba masanya Palestin anggotai PBB – Erdogan

804

Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, memberitahu negara-negara Arab kelmarin bahawa sudah tiba masanya bendera Palestin dikibar di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau berkata mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara adalah satu ‘kewajipan’.

Erdogan turut menuduh Israel sebagai menghalang proses damai di Timur Tengah.

Beliau berkata demikian kepada para menteri luar negara-negara Arab di Kahirah pada permulaan rangka lawatannya ke tiga negara – Mesir, Tunisia dan Libya.

‘Mengiktiraf negara Palestin bukanlah satu pilihan, ia adalah satu kewajipan,’ ujar Encik Erdogan di ibu pejabat Liga Arab di ibu kota Mesir, Kahirah.

Palestin sedang bersiap untuk membuat permohonan secara rasmi bagi menjadi anggota ke-194 PBB apabila Perhimpunan Agung pertubuhan dunia itu bermula Selasa ini.

‘Sebelum penghujung tahun ini, kita akan melihat Palestin di PBB dalam keadaan berbeza. Sudah tiba masanya bendera Palestin dinaikkan di PBB,’ ujar Erdogan.

Beliau, seorang penyokong kuat perjuangan Palestin, berkata Turki dan negara-negara Arab harus ‘berganding bahu dengan saudara Palestin kita’.

Negara-negara Arab menyokong usaha Palestin menjadi anggota PBB.

Namun, ia mendapat tentangan Amerika Syarikat, yang mempunyai kuasa veto dalam PBB.

Amerika ingin Palestin kembali ke meja rundingan dan meneruskan rundingan damainya dengan Israel sebelum memohon menjadi anggota PBB.

Erdogan menuduh Amerika, sekutu kuat Israel, mengamalkan diskriminasi dalam usahanya menghalang Palestin mendapat keanggotaan badan dunia itu.

‘Amerika harus menimbangkan semula kenyataannya berkaitan permohonan yang akan dibuat oleh Palestin kepada PBB.

‘Sikap berat sebelah ini tidak wajar dalam dasar luar negara seperti Amerika Syarikat,’ ujar beliau. — AFP, Reuters.