SPRM; Polis Menyiasat Siapa Yang Kena

773

Saya agak hairan dan kecewa dengan tindakan PDRM yang menyiasat beberapa pegawai SPRM yang pada ketika ini sedang menyiasat kes berkaitan dengan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd. Beberapa anggota penyiasat SPRM telah disiasat PDRM ketika kedua-dua bos SPRM sedang bercuti. Sudahlah Timbalan Perdana Menteri diturunkan jawatannya, Peguam Negara juga secara kebetulan ditamatkan kontrak beliau dan beberapa lagi isu yang sangat berkebetulan terjadi dalam masa yang sama, terkini Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahari Mohamad Zin, orang yang bersumpah untuk mencari dalang yang mengarahkan siasatan terhadap pegawai Operasi Khas SPRM, juga telah ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri dengan serta merta. Walaupun PDRM menegaskan bahawa siasatan mereka hanya kepada kes pembocoran maklumat siasatan oleh SPRM, namun ianya tetap dilihat sebagai kebetulan yang menimbulkan sangat banyak persoalan dan mungkin akan memberikan tekanan yang tinggi kepada pasukan Operasi Khas SPRM itu.

Sebagaimana yang kita maklum, dalam seksyen 72 akta SPRM, pihak pegawai SPRM ada diberikan kekebalan undang-undang ketika melakukan siasatan. Malah peruntukan ini juga dikatakan telah digunakan dalam kes Teoh Beng Hock yang mati ketika masih dalam siasatan SPRM. Tetapi kenapa tiada kekebalan yang diberikan kepada SPRM dalam sisasatan kes ini? Kenapa tidak dibiarkan sahaja siasatan sehingga selesai dan kemudiannya jika benar ada aduan salah laku, barulah dibuat siasatan lain.

Walaupun ramai yang masih kurang berpuashati dengan hasil siasatan terhadap kematian Beng Hock itu, namun tidak bermakna SPRM mesti ditentang sepenuhnya. Sebagaimana yang sering ditegaskan oleh PAS, PAS atas prinsip Islam, tidak akan berkompromi dengan apa jua tindakan yang menzalimi seseorang atau sesuatu pihak kerana Islam jelas mengharamkan kezaliman. Maka atas dasar itu PAS mendesak agar SPRM diberikan ruang secukupnya bagi mereka menjalankan tanggungjawab mereka kepada negara.

Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar menyatakan sokongan anda kepada SPRM dalam hal ini, agar ianya tidak menjadi satu contoh kepada tindakan-tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan pada masa depan. Jika ini dibiarkan, maka, berkemungkinan dimasa depan, terbuka pula kepada pihak lain yang menyiasat akan disiasat pula oleh pihak lain. Tiada maknanya undang-undang yang ada kerana ianya sendiri telah dirobekkan oleh penguasa. Yang paling kita takuti ialah adakah tindakan ini menjadi bukti kepada mempolitikan SPRM oleh tangan-tangan ghaib yang berada di belakang pentas politik Malaysia. Nauzubillah. Wallahua’lam

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
22 Syawal 1436 bersamaan 7 Ogos 2015