Kerajaan Malaysia Cenderung Menandatangani TPPA

942

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melihat Kerajaan Malaysia cenderung untuk menandatangani perjanjian TPP, berdasarkan mesyuarat terakhir peringkat Menteri TPP yang berlangsung di Maui, Hawaii dari 28 hingga 31 Julai lalu

Ketua Penerangan PAS Ustaz Nasruddin Hassan berpendapat, kerajaan Umno dan Barisan Nasional dilihat tetap akan meneruskannya meskipun dibantah pelbagai pihak.

“PAS berpandangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan tetap meneruskan siri rundingan konklusi terakhir dengan hanya memperolehi mandat daripada kabinet.

Rakyat masih lagi tidak dimaklumkan dengan substantif perjanjian termasuk hasil analisis kos faedah daripada rundingan berkenaan.

“Ini akan menyukarkan rakyat terutamanya ahli-ahli Parlimen untuk berbahas dan membuat keputusan penting untuk masa dean negara,”ujarnya dalam satu kenyataan.

nasruddinMenurutnya, Malaysia dikatakan terpaksa membuat keputusan yang cepat untuk disesuaikan dengan perkembangan politik terkini Amerika Syarikat.

Justeru, PAS menuntut pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk bersifat telus dan menjelaskan respon-respon negara anggota terhadap kebimbangan rakyat terhadap isu-isu sensitif yang telah disuarakan oleh kerajaan dalam siri rundingan berkenaan.

“Isu-isu sensitif tersebut antaranya adalah mengenai perolehan kerajaan, suvival perusahaan awam, pengusaha bumiputera serta industri kecil dan sederhana, perundangan dan harta intelek.

“Kita telah maklum, semua isu tersebut telah dibincangkan namun apakah hasilnya sehingga kerajaan masih mahu meneruskan rundingan ini?,”soal beliau

Ahli Parlimen Temerloh itu menegaskan dengan perkembangan terkini ekonomi negara seperti nilai ringgit merudum, harga pasaran minyak mentah dunia di bawah USD 50 setong, kelembaban sektor eksport dan pertumbuhan yang kecil, Malaysia dilihat terpaksa menganggotai TPPA untuk mempromosi perdagangan negara.

Persoalannya, kata beliauapakah jaminan kerajaan bahawa keputusan yang akan dibuat nanti tidak akan memudaratkan dasar-dasar politik dan sektor teras ekonomi negara?

Maka, PAS tegas meminta kerajaan keluar daripada rundingan tersebut memandangkan kebimbangan utama rakyat terhadap isu-isu sensitif gagal dijelaskan dengan yakin dan telus kepada kami (rakyat).

“Risiko ini terlalu tinggi memandangkan kerajaan hari ini turut berdepan dengan krisis keyakinan di peringkat nasional dan antarabangsa akibat daripada skandal kewangan 1MDB dan isu-isu yang berkaitan dengannya,”ujarnya lagi