Solat Kunci Keutuhan Institusi Keluarga

133

KUALA TERENGGANU – Dalam mengharungi kehidupan dengan kebejatan masalah sosial yang melanda negara hanya solat menjadi kunci keutuhan institusi keluarga.

Pengerusi Pertubuhan Wanita Terengganu Darul Iman Sejahtera(WARDAH), To’ Puan Zarani Othman berkata solat adalah pendidikan asas yang mesti diterapkan kepada setiap anak-anak.

“Peranan ibubapa mendidik anak-anak sampai ke liang lahad. Ibu bapa bertanggungjawab mendidik, membimbing serta sentiasa menasihati dan memberi peringatan kepada anak-anak kita sejak dari kecil sampai mereka dah dewasa.

“Pendidikan iman yang bermula dengan hubungan manusia dengan Allah SWT. Kita biasa dengar, “Awwaluddin Ma’rifatullah” (أول الدين معرفة الله) yang ertinya, permulaan agama itu adalah mengenal Allah, dan suruhan mendirikan solat sangat berkait rapat dengan hubungan kita dengan Allah SWT”.”jelasnya.

Katanya, Rasulullah SAW bersabda:
مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ yang bermaksud “Perintahkanlah anak-anak kalian untuk mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak mahu melaksanakannya) ketika mereka berumur sepuluh tahun. Dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.” (Riwayat Abu Daud)

Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Keluarga Bahagia Idaman Kita yang berlangsung di Pusat Tafaqquh Fi Ad-din Tok Sheikh Duyong di sini semalam.

Menurutnya lagi, institusi keluarga adalah titik permulaan kepada penyatuan keutuhan perpaduan sesebuah negeri.

“Ia juga merupakan kesinambungan masa hadapan yang menjadi pendorong kepada kita untuk lebih harmoni ke arah mencipta kejayaan besar di bumi Terengganu,” ujarnya.