Skuad Cegah Pergiat Rondaan Menjelang Ramadan

171

Oleh : Naim Fadhilah Kamaruddin

DUNGUN – Skuad Nahi Munkar (Skuad Cegah) kawasan Undangan Negeri (DUN) Sura semakin aktif membuat rondaan mengekang maksiat dan dadah menjelang Ramadan.

Ketua Pemuda PAS DUN Sura, Mohd Syahir Radin berkata, rondaan ini akan dilakukan lebih rancak dan tangkas menjelang bulan yang mulia sebagai awasan dan peringatan kepada umat Islam.

“Kita akan kerahkan tenaga pemuda untuk lebih aktif lagi membuat rondaan bagi menghormati bulan Ramadan yang mendatang,” jelasnya.

Syahir melahirkan keyakinannya dengan pelaksanaan pengawasan itu dapat mengurangkan aktiviti negatif di kampung terbabit.

“Alhamdulillah, dengan adanya skuad ini saya yakin gejala yang tidak bermoral ini berjaya dikekang dan dikurangkan walaupun bukan secara menyeluruh,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat rondaan di sekitar Kampung Molek disini, semalam.

Sehubungan dengan itu, beliau menegur sesetengah orang Islam yang masih tidak menghentikan aktiviti yang dibenci dan bakal mengundang murka Allah.

“Saya menyeru kepada seluruh umat Islam, hentikan gejala maksiat dan dadah ini dan fikirkan kesannya terhadap generasi yang akan datang,” tegasnya.