– Rakyat Tuntut Penjelasan FAM Dan Menteri Belia & Sukan
KUALA TERENGGANU – Seluruh rakyat dan pencinta bola sepak negara ini menuntut penjelasan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas insiden pemalsuan dokumen yang telah mencemar nama baik negara.
Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) memandang serius keputusan FIFA yang mengenakan denda RM1.9 juta (CHF 350,000) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan menggantung serta mendenda tujuh pemain selama setahun.
Menurut Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, ia adalah akibat penggunaan dokumen yang dipalsukan berdasarkan Artikel 22, Kod Etika Fifa (FDC).
“Rakyat Malaysia khususnya peminat bola sepak tempatan amat kecewa dengan insiden memalukan ini dan mereka berhak marah kerana nama baik negara telah dipalit dengan aib di pentas antarabangsa.
“Insiden sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini, menampakkan FAM kelihatan hilang kawalan, lemah dalam pentadbiran, dan gagal memastikan setiap proses didokumenkan secara telus dan sah.” tegasnya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga mantan Naib Presiden FAM, melihat skandal ini bukan sekadar isu teknikal, tetapi lebih dari itu seolah satu pengkhianatan terhadap integriti sukan negara.
“Soalnya…siapa yang membenarkan dokumen palsu ini diproses? Apakah ada unsur kecuaian, atau lebih buruk lagi, unsur penipuan yang disengajakan?,” tanya beliau.
Justeru, tambah Takiyuddin, kepimpinan FAM hari ini mesti bertanggungjawab sepenuhnya, tidak memadai dengan hanya merayu keputusan FIFA semata-mata.
“Kami juga menuntut agar siasatan bebas dan telus dijalankan segera, melibatkan bukan sahaja pihak dalam FAM, tetapi juga pihak berkuasa yang berkaitan.
“Jika terbukti ada individu tertentu yang bersalah, mereka mesti dikenakan tindakan sewajarnya tanpa kompromi dan Kerajaan juga melalui Kementerian Belia dan Sukan tidak boleh berdiam diri.
“Menteri Belia dan Sukan perlu segera tampil memberi penjelasan apakah langkah yang akan diambil untuk memulihkan integriti bolasepak negara.” tegas beliau lagi.
Kata beliu, jika benar-benar mahu melihat bola sepak Malaysia kembali dihormati, jalan pintas dengan menipu dokumen bukan jawapannya.
“Hanya disiplin, ketelusan, dan integriti yang akan mengangkat kembali maruah bola sepak negara.” saran beliau.