KUALA TERENGGANU – Hampir RM50 juta yang dilaporkan, dibelanjakan untuk projek penternakan kambing ‘Kaprima’ kini menjadi persoalan apabila tinjauan dibuat ke beberapa lokasi pusat aktiviti pertanian itu.
Perkiraan awal, sekurang-kurangnya RM2 juta ringgit pelaburan kerajaan negeri Terengganu rugi apabila dua dari projek terbabit di Durian Mentangau, Dungun dan Tanjung Gaduh, Marang, hanya tinggal ‘kandang sahaja’.
Bahkan kenyataan Exco (Pengerusi Jawatankuasa) Pertanian, Industri Asas Tani, Perladangan dan Komoditi negeri Nawi Mohamad pada 20 Ogos lalau untuk menswasta kandang-kandang kambing yang ditinggal hanyalah ‘satu tipu helah’ apabila didapati ianya terbiar dan tidak terurus.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang Cikgu Alias Alias Harun melahirkan rasa kesal dan dukacitanya apabila melihat keadaan projek kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) itu.
“masih tiada kambing setelah hampir 9 tahun ianya diusahakan, malahan apa yang menyedihkan pusat ternakan kambing ini seperti tidak diselia,
“dengan keadaan semak samun serta keadaan kandang kambing yang terbiar,”ujarnya.
Beliau yang menganggap ia adalah ‘satu skandal’ berkata demikian ketika ditemui selepas melawat kedua-dua lokasi premis ternakan kambing itu pada Isnin 2 Oktober.
Turut bersama beliau dalam lawatan kerja tersebut ialah Pengerusi Lujnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Terengganu, Ustaz Saharizukirnain Abdul Kadir.
Ahli Jawatankuasa Lujnah tersebut, Haji Mohd Said berkata, terdapat sebanyak 9 kandang yang terbiar, terdapat di kedua-dua lokasi Durian Mentangau dan Tanjung Gaduh.


“ada 9 kandang……setiap satu kandang dianggarkan antara RM250,000 hingga RM300,000, terbiar begitu sahaja, itu tak termasuk infrastruktur lain,
“saya anggap projek ini telah gagal dan kerajaan telah rugi,”ujarnya yang turut sama dalam lawatan itu
Pada 26 Januari 2009, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu dilaporkan akan membeli kira-kira 5,000 ekor induk kambing spesies Kaprima membabitkan kos RM5 juta pada tahun ini bagi tujuh projek penternakan kambing di negeri ini.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri ketika itu, Dr Azizol Mohd Sharum berkata Projek Lembah Kaprima bernilai RM24 juta dimulakan awal Disember tahun 2009.
Katanya, dengan peruntukan tersebut, kerajaan negeri telah meluluskan lapan projek ‘Kambing Prime Malaysia’ (Kaprima) yang akan dilaksanakan di Terengganu, di Kemaman, Hulu Terengganu, Besut, Setiu, Marang, Dungun dan Kuala Terengganu, masing-masing membabitkan kawasan seluas 50 hektar.


Setelah itu, ADUN Hulu Besut Nawi Mohamad yang mengambil alih jawatan dari Asha’ari cuba menutup kegagalan projek itu dengan membuat kenyataan, akan menswastakan projek Lembah Kaprima kepada lapan anak jati negeri Terengganu.
“Kerajaan negeri membelanjakan lebih RM13 juta untuk penyediaan infrastruktur seperti jalan dan kandang untuk ternakan kambing ini.
“Sekarang, kita swastakan projek ini kepada pengusaha dalam bentuk sewaan kandang yang mana setiap lembah kaprima mempunyai lima kandang dan setiap kandang disewa dengan harga RM200 sebulan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjanjian antara Pengusaha Lembah Kaprima dan Kerajaan Negeri di sini, Khamis, 20 Ogos lalu.




























