Sistem Pemerintahan Negara Gagal

1103

BESUT – Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Siti Zailah Mohd Yusof mendakwa sistem pemerintahan yang berjalan dalam negara ini tidak memberi jaminan kesejahteraan kepada rakyat kerana tidak berasaskan Islam.

“Kita harus bersyukur kerana dipilih oleh Allah SWT berada dalam pergerakan Islam disaat negara berdepan pelbagai krisis dan isu, yang menyaksikan kegagalan sistem yang tidak berteras Islam. Sistem pemerintahan yang ada ini tidak memberi jaminan dan kesejahteraan kepada rakyat,” ujarnya.

Bahkan, katanya keadaan rakyat dan negara ini semakin parah dengan bala Allah yang menimpa kerana menolak Islam serta tidak mendaulatkan syariatNya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Jubli Emas 50 Tahun Dewan Muslimat PAS Kawasan Besut, di Kampung Air Tawar, Besut Terengganu.

muslimat besut2Menurutnya, masyarakat terus hanyut dan lalai kerana tidak meletakkan Allah dan agama Islam di hadapan.

“Akibatnya, berlakulah krisis kerosakan akidah, keruntuhan moral, pelbagai kejadian jenayah dan masalah dalam negara kerana tidak meletakkan agama sebagai teras dalam kehidupan manusia,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang turut memfokuskan tiga perkara kepada Muslimat PAS yang perlu diberi perhatian sewajarnya.

“Tingkatkan tarbiah dan bawalah anak-anak kita menghadiri majlis ilmu untuk memberi kesedaran berkaitan akidah Islam. Kekuatan akidahlah yang menjadi benteng kejayaan kepada semua peringkat kepimpinan.

“Muslimat perlu berkemahiran dalam bidang IT (teknologi maklumat) dan guna untuk memanfaatkan ilmu melalui IT terutama muslimat muda atau AMEERAH. Kemahiran ini dapat memberi penjelasan kepada rakyat dan melawan tohmahan.

“Dalam menghadapi perjuangan perlulah berjuang dengan penuh kesedaran dan yakin perkara yang diperintah Allah SWT. Ini kerana, tidak ada pencen dalam perjuangan dan terus beristiqamah,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan agar orang lama dapat membimbing orang baru serta memperbaiki kelemahan yang ada menjadi lebih kuat.

Menurutnya, generasi anak-anak muda perlu dibimbing dengan penuh kasih sayang bagi membina pelapis kepada perjuangan Islam.

“Anak-anak muda dibimbing dengan penuh kasih sayang, kita (PAS) bina pelapis baru. Anak muda disayangi, orang tua dihormati, tidak ada persaingan dan perlu saling membantu untuk selamatkan negara.

“55 pertus pengundi wanita berumur 40 tahun ke bawah dan ini menjadikan kaum wanita adalah penentu kemenangaan,” ujarnya dihadapan lebih 1,000 hadirin.