Siasatan Untuk Bersihkan Nama Tun Dr Mahathir

1650

Oleh : Nurul Islam Mohamed Yusoff

Ada pihak yang mengatakan kenyataan saya yang mendesak kertas siasatan skandal BMF dan Forex 1992 dibuka semula sebagai sengaja ingin sabotaj usaha murni untuk menyatupadukan BESATU & PAS serta ia tidak mencerminkan budaya politik PAS. Untuk makluman, PAS mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera (BPMS). Salah satu ciri utama dalam BPMS adalah “Politik bertunjangkan prinsip”. Atas sifat itulah, kenyataan saya mendesak agar kertas siasatan segera dibuka keatas skandal BMF dan Forex 1992 kerana PAS tetap istiqamah dalam prinsip sentiasa berjuang untuk rakyat.

Malah atas prinsip ini juga, kami yakin sebarang perbincangan kerjasama politik antara PAS dan BERSATU tidak akan terjejas kerana tuntutan siasatan ini malah keyakinan rakyat kepada PAS & BERSATU akan meningkat. Skandal yang berlaku ketika zaman Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO tetap sebuah skandal yang telah merugikan wang rakyat.

Untuk makluman, bukan sahaja isu skandal BMF dan FOREX 1992 yang PAS mahu ianya disiasat, PAS perjuangkan pelbagai isu seperti skandal 1MDB, isu rasuah, kebajikan rakyat dan antarabangsa. Jikalau diikuti harakah, blog dan facebook pimpinan PAS, pasti akan dapat mengikuti setiap hari pimpinan PAS memperjuangkan isu isu rakyat yang sebenar.

BMF yang ditubuhkan pada tahun 1977 dan urusniaga BMF pada awalnya memperolehi keuntungan yg besar. Pada tahun 1982, BMF mula mengesan tanda tanda awal masalah apabila dua dari peminjam terbesarnya mengalami kesulitan membayar pinjaman mereka. Malah wujudnya pinjaman yang melebihi had yang dibenarkan oleh bank negara. Kemuncaknya, berlakunya pembunuhan saudara Jalil Ibrahim Auditor dari Bank Bumiputera yang dihantar untuk menyelesaikan kemelut dalam BMF pada tahun 1983. Bukankah sebahagian besar skandal ini berlaku ketika zaman Tun Mahathir sebagai perdana menteri?

Ada pihak memberi alasan bahawa ianya adalah “circumstantial evidence”. Dengan kata lain, mendakwa tiada “direct link” untuk mengaitkan Tun Dr Mahathir dengan Skandal BMF. Namun tidak pula dinyatakan dalam laporan siasatan CIA bahawa tiada “Indirect link”. Kes menjadi mudah jika ada “direct link”. Namun ianya menjadi kompleks apabila ada “indirect link” malah disebabkan “indirect link” inilah perlu kertas siasatan dibuka semula. Perlu diingat “indirect link” tidak bermakna skandal ini dilakukan oleh Tun Mahathir sendiri.

Sekiranya laporan CIA dibaca dengan teliti, ia juga ada menyatakan “Mahathir also had close ties with those implicated, as well as with Nawawi Mat Awin, under whose chairmanship Bank Bumi continued lending to Tan” – Mahathir juga mempunyai hubungan rapat dengan mereka yang didakwa, termasuk Nawawi Mat Awin yang mana dibawah pentadbirannya Bank Bumi terus memberi pinjaman kepada Tan. Laporan itu juga menyatakan “The most potentialy damaging aspect of the affair is the alleged connection of Tan to officials of the United Malays National Organization (UMNO) – Perkara yang paling merosakkan adalah hubungan Tan dengan mereka didalam UMNO.

Di dalam thesis Phd oleh Yik Koon Teh dari London School of Economics and Political science bertajuk Employee Fraud in Malaysia: A Case Study, beliau memuatkan skandal BMF ini sebagai salah satu kajian kes. Thesis ini dengan jelas menyatakan “the BMF case gave strong impression that there was a conspiracy between the government, the police and the anti corruption agency to coverup the case and it is plausible that the reason was that a few politician was involved in the scandal.” – Kes BMF ini memberi petunjuk besar bahawa terdapat konspirasi diantara kerajaan, polis dan badan anti rasuah untuk menutup kes ini dan sebabnya adalah ada beberapa ahli politik terlibat.

Kedua dua laporan dan thesis diatas secara jelas tidak menuduh Tun Dr Mahathir sebagai yang bersalah, namun ia memalitkan beberapa ahli politik, malah UMNO sendiri dan Tun Dr Mahathir merupakan Perdana Menteri dan Presiden UMNO ketika itu. Disinilah wujudnya kewajaran untuk kertas siasatan dibuka semula kerana yang didakwa dan dihukum sehingga kehari ini adalah kakitangan BBMB dan BMF sahaja.

Akhir sekali, saya ingin memberikan keyakinan kepada semua rakyat Malaysia bahawa tuntutan ini bukanlah bersifat politik atau peribadi tetapi mahu mendapatkan keadilan kepada semua pihak yang terlibat termasuk Tun Dr Mahathir. Rakyat perlukan jawapan kepada skandal yang mempunyai implikasi kewangan yang besar. Sekiranya siasatan yang dilakukan membuktikan Tun Dr Mahathir bersih dan tiada salah laku, bukankah rakyat akan lebih yakin dan mempercayai beliau? Malah atas nama keadilan, sepatutnya semua anak muda dan rakyat Malaysia berdiri disebelah saya dan menyokong usaha membersihkan nama Tun Dr Mahathir ini.

***Nurul Islam Mohamed Yusoff ialah Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan