SG4 Perkukuh Model Pentadbiran Islam Hadapi PRU16

7

KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis disaran memperkukuhkan kerjasama SG4 dengan membangunkan Kerangka Dasar dan Pentadbiran Islam yang lebih sistematik, praktikal, bersepadu dan boleh diukur sebagai panduan rasmi pentadbiran negeri.

Perwakilan Dewan Muslimat PAS Malaysia, Siti Rohaya Ahad berkata, usaha berkenaan penting bagi memastikan kemenangan empat negeri terbabit dapat dipertahankan menerusi prestasi pentadbiran yang baik, integriti kepimpinan, penyelesaian masalah rakyat dan keberkesanan dasar Islam.

“Dalam usaha mempertahankan kemenangan negeri-negeri SG4 dan terus menjadi negeri model, Dewan Muslimat PAS Malaysia menyarankan supaya Kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis memperkukuhkan kerjasama SG4 dengan memperkukuhkan Kerangka Dasar dan Pentadbiran Islam SG4 yang lebih sistematik, praktikal, bersepadu dan boleh diukur.

“Kerangka ini boleh dijadikan garis panduan rasmi pentadbiran melalui SUK, UPEN, PTG, PBT, agensi negeri, badan berkanun negeri dan GLC,” katanya ketika membahaskan usul pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), di sini, hari ini.

Menurutnya, PAS sejak sekian lama membawa Islam bukan sekadar sebagai identiti politik, sebaliknya menjadikannya asas perjuangan, pemerintahan dan penyelesaian kepada permasalahan rakyat.

Katanya, Kelantan yang melaksanakan dasar Membangun Bersama Islam sejak 1990 dengan prinsip Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan mempunyai pengalaman yang boleh dikembangkan sebagai model pentadbiran Islam yang lebih tersusun dan moden.

“Empat negeri SG4 mempunyai peluang besar untuk mengangkat pengalaman tersebut kepada suatu model pentadbiran Islam yang lebih tersusun, moden, berprestasi tinggi dan boleh diteladani, dengan mengambil kira bidang kuasa, komposisi masyarakat, kekuatan ekonomi, kedudukan kewangan dan keperluan setiap negeri,” katanya.

Siti Rohaya berkata, kemenangan SG4 tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai pencapaian pilihan raya, sebaliknya merupakan amanah rakyat dan medan untuk membuktikan kemampuan Islam menyelesaikan masalah kehidupan.

“Kemenangan tidak boleh dipertahankan hanya dengan kekuatan jentera pilihan raya. Kemenangan mesti dipertahankan dengan kepercayaan rakyat.

“Rakyat perlu melihat bahawa apabila PAS diberikan amanah memerintah, Islam diterjemahkan dalam bentuk pentadbiran yang bersih, ekonomi yang berkembang, kebajikan yang terjamin, keluarga yang diperkasa, peluang pekerjaan yang diwujudkan, tanah dan sumber negeri yang diurus secara amanah serta perkhidmatan kerajaan yang cekap dan berintegriti,” katanya.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, Dewan Muslimat PAS Pusat mencadangkan supaya SG4 dijadikan agenda strategik mempertahankan kemenangan menuju PRU16, selain memperkasakan Majlis Dasar dan Tadbir Urus Islam SG4 yang melibatkan kepimpinan tertinggi kerajaan negeri bersama pegawai kanan kerajaan.

Jelasnya, kerangka dasar bersama SG4 juga perlu memberi tumpuan kepada bidang dalam kuasa dan pengaruh kerajaan negeri termasuk integriti dan antirasuah, ekonomi dan pelaburan, pengurusan tanah dan sumber, pendidikan, modal insan, pembangunan sosial, keluarga, PBT serta kesejahteraan rakyat.

“PBT hendaklah menjadi wajah pentadbiran yang paling hampir dengan rakyat melalui kebersihan bandar, kemudahan berniaga, pelesenan yang adil, pengurusan penjaja, penguatkuasaan berintegriti, keselamatan, ruang awam serta kesejahteraan keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya integriti dijadikan ukuran utama kejayaan pemerintahan Islam menerusi mekanisme ketelusan perolehan, pengurusan konflik kepentingan, tadbir urus GLC, pengurusan tanah dan pembangunan serta tindakan terhadap teguran audit.

Beliau turut mencadangkan pewujudan Bank Amalan Terbaik SG4 didokumentasikan, menilai dan mengembangkan pengalaman serta inovasi pentadbiran keempat-empat negeri untuk dikongsi bersama.

“Setiap dasar hendaklah mempunyai agensi peneraju, pelan tindakan, tempoh pelaksanaan, sasaran dan KPI yang boleh diukur termasuk pengurangan kemiskinan, peluang pekerjaan, pelaburan, pendidikan, kesejahteraan keluarga, kecekapan PBT, integriti dan kualiti perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Siti Rohaya berkata, Pelan Mempertahankan Kemenangan SG4 menuju PRU16 juga perlu disediakan dengan merangkumi pengukuhan jentera, komunikasi dan penerangan prestasi kerajaan, penglibatan generasi muda serta wanita, pemerkasaan keluarga dan penyelesaian isu rakyat secara pantas dan berkesan.

“Kemenangan SG4 mesti dipertahankan. Tetapi kemenangan itu tidak akan kekal hanya kerana kita pernah menang. Ia kekal apabila rakyat merasai manfaat kemenangan tersebut.

“Tugas kita menuju PRU16 bukan sekadar mempertahankan empat negeri, tetapi menjadikan empat negeri ini sebagai empat bukti hidup bahawa penyelesaian Islam mampu membawa keadilan, kesejahteraan, integriti dan kemajuan kepada rakyat,” katanya.