Setiap Program Memenuhi Ciri Dakwah

489

KUALA TERENGGANU – Setiap program yang dianjurkan oleh kerajaan PAS di negeri ini adalah memenuhi ciri-ciri dakwah bagi mendekatkan masyarakat dengan Islam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS II Terengganu, Dato’ Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, hiburan yang diselitkan dalam setiap program merupakan alternatif untuk mendidik rakyat.

“Kita bukan sebuah kerajaan yang menghukum tetapi kita memberikan pilihan dan dalam masa yang sama berdakwah kepada masyarakat bahawa bukan semua perkara tidak dibenarkan termasuk hiburan.

“Kalau tidak orang anggap Terengganu sebagai negeri ‘taliban’ jadi orang akan menjauhi dalam masa yang sama kita tidak mudah-mudahkan bagi meluluskan sebarang program yang hendak dianjurkan di negeri ini,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah Dan Pendidikan negeri berkata demikian ketika bersiaran langsung di TV Darul Iman, pada Rabu.

Tegasnya, termasuk penganjuran ‘Jom Heboh’ dan mana-mana program, perlu menepati garis panduan ditetapkan kerajaan negeri.

“Terima kasih kepada Media Prima kerana sudi mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.

“Selagimana mengikut syarat yang telah dikemukakan kita akan benarkan, apatah lagi demi memastikan ia bersesuaian dengan hari yang bakal disambut iaitu ‘Maulidur Rasul’,” ujarnya.

Katanya, PAS sentiasa berpendirian bahawa hiburan tidak salah selagimana mematuhi syarak dan perkara itu bukan sesuatu yang baharu bagi PAS.

“Malah telah lama dibincangkan, kita sebenarnya tidak ‘kluk klek’ jika semasa Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu kita menyelitkan hiburan dalam setiap program diadakan dengan mengikut batas syariat.

“Takkan bila memerintah kita tidak meneruskannya, sama sahaja samada sebelum ataupun selepas memerintah, paling penting pengisiannya untuk mengawal sebarang aktiviti kita ada penguatkuasaan syariah, dan sebagainya,” katanya.

Dalam kemeriahan Jom Heboh yang diperkatakan katanya, dalam masa yang sama PAS turut mengadakan Program Pembudayaan Hidup Bersyariat serta mengajak orang ramai mengambil manfaat daripada setiap program diadakan itu.