Setahun Muafakat: Jangan Buat Onar, Tetapkan Tekad

465

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.

Petang ini menggelegak medsos dengan Sidang Media mantan Setiausaha Agong UMNO yang juga SU Barisan Nasional, TS Anuar Musa . Bak kotak pandora yang memuntahkan jawaban dan menjawab teka teki panjang berkaitan surat sokongan kepada DSAI beberapa bulan lepas. Paralel dengan amukan netizen di FB DS Najib Razak, satu gambaran betapa kecewanya ummat Islam dengan pergolakan politik dan kerancuan berfikir pembesar-pembesar politik negara. Ada alasan rupanya rakyat terbanyak merasa muak dengan permainan kuasa dan orang politik, pandemik sedang menggila dan banjir besar sedang menyelimuti beberapa buah negeri di Semenanjung. Mandraguna kuasa tetap nombor wahid dalam tempurung kepala pemain politik tanpa peduli akan rintihan rakyat bahkan ” menunggang” istilah demi akar umbi parti.

Mengapa cepat kita lupa diri dan terpanar dengan kemenangan demi kemenangan dalam PRK?, lupakah tragedi hilang kuasa pada 9 Mei 2018?. Setahun lebih yang lalu, musuh politik PAS dan UMNO seperti sawan dan terpanar, tak sepi mereka menilai dengan mata lalat dan menghujam dengan penuh nafsu apabila Muafakat Nasional ditubuhkan. Avatar siber seperti RBA meratib siang dan malam agar kesepakatan dua buah parti umat Islam ini gagal untuk bertaut, namun pendokong PAS dan UMNO telah bertekad untuk berdamai dan saling memaafkan. Mutakhir ini ada pemain politik tua daripada hujung negeri Kelantan yang cuba merobek kembali sejarah silam PAS-Umno, tekadnya agar MN berkubur agar PAS dan Umno tercerai berai lagi setelah bersatu.

Sebelum ini jika kita sedar, kebanyakan komen-komen adalah daripada daripada pemimpin PH ialah bagaimana PAS menjadi singkat ingatan terhadap kezaliman UMNO terhadap PAS selama ini, tragedi Memali, royalti minyak terhadap kerajaan PAS, pengucilan terhadap kerajaan Kelantan, dan lain-lain. Usaha menimbulkan keraguan kepada pemuafakatan ummah juga membandingkan dua orientasi berbeda bagi dua parti yang selama hampir tujuh dekad bertarung di pentas demokrasi. Malang pula kini bila tahap Pengerusi Umno Terengganu memercik api permusuhan dalam suasana ummat yang telah melupakan sengketa. Serang menyerang didunia siber dikalangan ahli perlu didamaikan oleh pimpinan, kerana jika Jong pecah maka Yu akan kekeyangan!

Jika setahun dahulu, yang paling takut ialah pemimpin DAP yang cuba mengambarkan pemuafakatan ini akan menyebarkan rasa permusuhan antara kaum dan menyuburkan polarisasi kaum. Ketakutan DAP dengan pantas disambung oleh parti PAN, perkakas politik mereka yang paling setia. Lihatlah kegelabahan mereka seolah langit akan menghempap negara ini dan terbakar menjadi padang jarak padang tekukur. Naratif yang dibawa oleh pemimpin PH bahawa PAS akan kembali disakiti apabila BN kembali berkuasa di peringkat nasional sebagaimana PAS ditendang pada tahun 1977. Jangan membenarkan naratif ini wahai pemain politik pragmatis kerana mahalnya harga sebuah perpaduan umat.

Pendokong dan penyokong parti dalam PN mahu pun MN wajib memahami bahawa dalam politik, semua pertimbangan risiko perlu diambil kira dan memahami latar sejarah, unjuran strategik namun jika sejarah silam ssesebuah parti politik diambil kira, maka tidak akan berlaku apa-apa pemuafakatan, pakatan strategik atau kerjasama berdasarkan realiti semasa. Jika pertandingan banyak penjuru berlangsung dalam PRU 15 maka jangan ditangisi lagi jika kelompok minoriti kaum akan menentukan halatuju negara ini sebagaimana pernah berlaku selama 22 bulan . Buang jauh-jauh sikap ingin menjadi dominan dan abang Long apabila berpakat dan berkoalisi.

Pemuafakatan Melayu Islam dalam tempoh setahun ini, bukan sahaja dapat meneguhkan kuasa politik Islam Melayu negara ini, namun menjalin hubungan dengan kaum-kaum lain bagi memastikan negara ini di landasan yang betul. Rakyat yang gelisah dan marah dengan reputasi pemerintahan PH dalam tempoh 22 bulan , bercakaran sesama sendiri, penjualan aset negara, hubungan kaum yang mula tidak harmoni kerana sikap etnosentrism sebahagian pemimpin PH terutama daripada DAP, penggangguran semakin menjolok mata, polisi-polisi pra matang para Menteri, kontrak sosial yang mula didobrak pasca 9 Mei 2018.

PAS yang ditarjih oleh Majlis Syura Ulama melihat tanah watan ini perlu diselamatkan sebelum dihancurkan oleh politikus jalanan yang mendapat kuasa dalam PRU 14. Pemuafakatan politik ini juga diterima dalam ruang demokrasi, sehingga menyaksikan kemenangan demi kemenangan dalam siri-siri Pilihanraya Kecil . Kesepakatan ini juga telah menumbangkan kerajaan PH yang hanya sempat dipuncak kuasa selama 22 bulan. Pakatan Harapan tumbang di Johor, Kedah, Perak dan Melaka serta bergegar pentadbiran negeri Sabah.

Rakyat tidak bodoh dan pandai menilai, jujurlah dalam bersahabat . Jangan kerana ingin melepaskan tengkok daripada masalah maka kesepakatan ummah dirobek . Parti berbasis Bumiputera seperti cendawan tumbuh, manakala bukan bumi hanya satu suara disepakati,maka hujung jatuhnya kita semua tahu implikasinya pada tanah leluhur ini.

Koalisi dan pemuafakatan politik Melayu Islam ini wajib diperteguhkan , bukan dicari jalan untuk dipecahkan demi ambisi kuasa .

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)