Setahun Memerintah, PH-BN Kerajaan Gagal – Annuar Musa

127

KEMAMAN – Kerajaan PH-BN di bawah Perdana Menterinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah kerajaan yang terlampau gagal menangani masalah rakyat dan negara.

Timbalan Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Musa berkata, ini kerana tidak ada satu pun indikator kejayaan untuk membawa perubahan kepada negara dan kehidupan rakyat dicapai walaupun sudah hampir setahun memerintah Malaysia.

Katanya, indikator itu mencakupi janji untuk menurunkan kos sara hidup, menurunkan harga barang, memperbaiki ekonomi, menambahkan peluang pekerjaan dan mengawal hutang negara.

“Semuanya itu gagal dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim,” tegas beliau ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera PRK Kemaman di Padang Astaka, Chukai di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Terengganu, Dato’ Husain Awang dan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu Datuk Razali Idris.

Seterusnya Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO berkata kerajaan PH-BN tidak ada mandat daripada kalangan Melayu dan orang Islam dalam Pilihanraya Umum ke 15 (PRU15) yang lalu.

“Mandat orang Melayu pada pilihanraya yang lepas ialah mandat untuk menolak parti liberal dan sosialis terutama sekali DAP,” ujarnya.

Beliau berkata PH hanya mendapat 38 peratus undi popular sekali gus parti itu tidak diberi mandat untuk mentadbir dan memerintah negara.

“Tetapi kerana politik manipulasi yang telah dilakukan maka hari ini parti itu menjadi kerajaan walaupun sebenarnya Perikatan Nasional (PN) ‘first past the post’ melebihi 112 wakil rakyat bagi membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU15,” ujarnya lagi.