KUALA TERENGGANU – Serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran didakwa lebih bertujuan melindungi kepentingan Israel berbanding berkait isu keupayaan nuklear Iran.
Presiden Persekutuan Belia Islam Asia (AFMY) Dr Abdul Muntaqim Abu Bakar berkata, kenyataan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio menunjukkan bahawa Washington melancarkan serangan ke atas Iran selepas mendapat maklumat bahawa Israel akan memulakan serangan terlebih dahulu.
Menurut beliau, situasi itu menggambarkan bahawa Amerika Syarikat sebenarnya bertindak mengikut pengaruh Israel dalam konflik berkenaan.


“Israel sebelum serangan, umumkan pembentukan pakatan hexagon yang melibatkan negara seperti India dan Somaliland, dan Iran merupakan negara yang menjadi ancaman kepada pakatan baru ingin diwujudkan,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Lujnah Antarabangsa PAS Pusat, berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah di Masjid Jamek Tok Jiring, semalam
Katanya, Iran dilihat sebagai ancaman utama kepada pakatan tersebut selain dianggap menggugat agenda “Greater Israel”, iaitu wilayah yang didakwa dicita-citakan oleh gerakan Zionis dengan sempadan meliputi dari Sungai Nil di Mesir hingga ke Sungai Furat di Iraq.
“Episod yang berlaku ini merupakan satu perjalanan yang kita saksikan, dan pengakhirannya akan sampai kepada apa yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW,
“iaitu umat Islam akan mengalahkan orang Yahudi pada akhir zaman nanti,” katanya.





























