KUALA TERENGGANU — Isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dibangkitkan DAP adalah didorong oleh suasana panik politik, susulan kalah pada PRN Sabah dan bimbang kehilangan sokongan dalam menjelang pilihan raya umum akan datang.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, isu UEC timbul sebagai usaha terakhir parti itu, cuba mendapatkan sokongan rakyat, khususnya dalam kalangan masyarakat Tionghua.
“Isu berasaskan sentimen lama yang sering dimainkan, terutama selepas kemerosotan sokongan, kalah semua kerusi dalam pilihan raya di Sabah,
“Namun begitu, reaksi masyarakat dalam media sosial menunjukkan penentangan terhadap isu terbabit.’ jelas beliau.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berkata demikian ketika ditemui selepas program IDialog Isu Semasa di sini, pada Khamis 11 Disember.


“Akta 152 mengisytiharkan Bahasa Melayu (Bahasa Malaysia) sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi negara,
“Justeru, perkara paling penting ialah kita perlu kembali kepada teras iaitu Sistem Pendidikan Nasional kerana UEC tidak menggunakan Bahasa kebangsaan,” tegas beliau.
Katanya, jika tuntutan UEC diwajarkan, ia akan membuka ruang kepada tuntutan pengiktirafan pelbagai aliran yang akan menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara.
“Demi perpaduan dan pembinaan negara bangsa pada masa akan datang, kita mesti kekal konsisten dan berpegang kepada Dasar Pendidikan Nasional yang sedia ada,” ujarnya.




























