Semua PPS Di Hulu Dungun Ditutup

69

KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang kelima melanda Dungun pulih sepenuhnya dengan semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi ini.

Tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Hulu, iaitu di Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Pasir Raja; Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan DOR Kampung Minda ditutup pada jam 10 pagi, Selasa 5hb Januari.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, seramai 154 mangsa daripada 45 keluarga di daerah itu dibenarkan pulang berperingkat selepas banjir surut.

Katanya, hanya Daerah Kemaman yang masih terjejas dengan 920 mangsa daripada 285 keluarga masih ditempatkan di sembilan PPS.

“PPS itu adalah DOR Teladas, Surau Kampung Ban Ho, Sekolah Kebangsaan Lembah Jabor, Dewan Sivik Air Putih, Surau Haji Othman, Masjid Tebak Batu 16, DOR Felda Seberang Tayor, DOR Pasir Gajah dan Balairaya Padang Kemunting,” katanya.

Sehubungan itu, Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) PAS Bukit Besi Haji Ghazali Sulaiman bersyukur kerana semua mangsa telah pulang.

Namun begitu, beliau berharap penduduk berjaga-jaga kerana ‘edah’ musim bah masih lagi dalam tempohnya.

“Alhamdulillah, banjir dah surut, tapi hujan renyai-renyai masih turun, masih dalam tempoh musim tengkujuh sehingga bulan Mac,

“saya harap semua pihak terus bersiap siaga sehingga habis musim ni,” tegasnya.