Semarakkan Gelombang Teguh Pertahan

325

Oleh : Rohayati Ripin

SETIU – Rakyat negeri Terengganu khususnya dalam kawasan Setiu digesa bersama-sama semarakkan Gelombang Himpunan Teguh Pertahan sehingga ke Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan Setiu, Ustaz Mohd Nazari Alias berharap agar ia menjadi satu momentum untuk berdepan dengan PRN yang akan diadakan pada bila-bila masa saja.

“Kita pilih DUN Jabi (tempat Himpunan Teguh Pertahan) kerana Jabi satu-satunya DUN dalam Setiu yang kita menang.

“Teguh Pertahan DUN yang telah menang dengan target untuk menang semua DUN lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini, mengulas mengenai program Himpunan Teguh Pertahan Setiu yang diadakan pada Jumaat, 16 Jun nanti.

Menurutnya, beliau menjangkakan kehadiran melebihi lima ribu orang pada hari tersebut.

“Lima aktiviti program yang disediakan antaranya, slot muslimat, slot mewarna untuk pra sekolah, slot ameerah,

“Slot konvoi dan santai pemuda, slot kuliah maghrib ulamak dan waktu kemuncak ceramah perdana,” jelas Nazari.

Beliau menambah, terdapat hadiah cabutan bertuah utama iaitu sebuah motosikal dan dua bentuk cincin emas selain basikal serta barangan elektrik.

Justeru itu, beliau berharap rakyat menyokong parti PAS agar dapat kekal memerintah negeri Terengganu dan dapat terus berkhidmat menabur bakti pada masyarakat.

“Harapan saya dengan momentum sokongan yang sedang melanda PAS dan Perikatan Nasional (PN) seluruh negara sekarang,

“Orang ramai akan membanjiri tapak pgram menunjukkan sokongan untuk PAS terus memerintah negeri Terengganu selepas PRN nanti,” tambah beliau lagi.