Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu menyeru seluruh anak muda Terengganu untuk hadir memeriahkan sambutan Himpunan Harapan Semua (HARAP 3.3) yang akan berlangsung pada 24-27 Februari 2016 di Kg.Padang Mengkuang, Marang.
Bagi melengkapkan penyertaan anak muda sepanjang HARAP 3.3 ini, pihak DPPNT sasarkan penyertaan seramai 10 ribu anak muda seluruh Terengganu untuk bersama-sama. Justeru, semua Dewan Pemuda PAS Kawasan hendaklah memainkan peranan untuk mempromosikan acara ini kepada seluruh anak muda di dalam kawasan masing-masing dan melakukan kerahan buat semua aktivis pemuda PAS.


Antara acara lain yang diselaraskan oleh pihak pemuda adalah Futsal Padang, sukaneka, pertunjukan 4×4 dan cubcross. Semua anak muda dijemput memeriahkan semua acara ini.
Sepanjang HARAP 3.3 pada kali ini, DPPNT amat mengharapkan agar anak muda PAS mampu untuk bertindak secara proaktif dalam memainkan peranan yang boleh melancarkan semua acara yang disusun pihak penganjur.
Untuk menjayakan keseluruhan acara ini, DPPNT telah menyediakan seramai 1000 orang anak muda yang berkhidmat secara berjadual untuk melancarkan semua perjalanan program samada tugasan lalu lintas yang dipimpin oleh Jabatan Amal Negeri Terengganu, sebahagian tenaga persiapan, kutipan derma dan lain-lain.
Pihak DPPNT merakamkan ucapan syabas dan terima kasih buat semua anak muda PAS kawasan Marang yang dilihat memainkan peranan sewajarnya dalam melaksanakan kerja-kerja persiapan sempena himpunan ini.
Semoga perjalanan HARAP 3.3 di Marang akan membentuk satu gelombang kebangkitan rakyat untuk membina perubahan besar i seluruh negeri Terengganu Darul Iman.
Sekian, terima kasih.
“Mempersiap Generasi Kemenangan”
“Beristiqamah Hingga Kemenangan”
Hishamuddin Bin Abdul Karim
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu
Selasa, 23 Februari 2016 | 14 Jumadil Awwal 1436H



























