KUALA TERENGGANU – Selepas terancam dengan tindakan pengambilalihan tanah oleh kerajaan untuk pembangunan di Kampung Laut kira-kira dua minggu lalu, orang Melayu Islam dibandaraya ini, diancam pula kehidupan mereka akibat kelalaian kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN).
Lebih 10 buah keluarga di Kampung Tanjung Paya di sini akan menjalani kehidupan ‘sempit’ umpama rakyat Palestin di bumi sendiri, apabila kebebasan laluan jalan keluar masuk ke penempatan mereka dihalang.
Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu Haji Ahmad Amzad Hashim berkata, pembinaan pagar di sekeliling sekeping tanah persendirian di kampung tersebut telah menyekat laluan orang kampung tersebut untuk melaksanakan aktiviti harian termasuk melaksanakan ibadah di surau berdekatan.
“saya meninjau masalah dihadapi lebih 10 keluarga yang tanah mereka terhimpit ekoran tindakan menyekat laluan jalan dengan pembinaan pagar sekeliling sekeping tanah persendirian di Kampung Tanjung Paya, Kuala Terengganu.
“Masalah bermula bila tanah yang asalnya milik orang Melayu (Islam) berpindah tangan 4 tahun yang lalu,
“Sejak itu pemilik-pemilik tanah berdekatan berterusan ditekan secara halus untuk menjual tanah mereka dengan pelbagai tawaran dan termasuk kini dengan tindakan memagar sekeliling tanah berkenaan,”jelasnya.
Beliau menyifatkan ia suatu kegagalan pentadbiran pejabat tanah dan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menguruskan hal tersebut kerana melalui pelan tanah yang ditunjukkan oleh penduduk setempat, memang terdapat ‘rezab laluan’
“Namun, kawasan itu telah turut dipagar sama (dan) saya dapati beberapa masalah besar akan berlaku kepada penduduk,
“kenderaan mereka perlu jauh ditinggalkan di luar, selain ‘pili bomba’ turut terhalang dan akan menyulitkan penduduk jika berlaku kebakaran. Ini belum lagi urusan ibadat orang Islam ke surau berdekatan yang jelas tersekat,”tegasnya.
Amzad yang juga Pengerusi NGO Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI) memberitahu, beliau dimaklumkan kerajaan negeri ada bercadang menjadikan kawasan sekitar sebagai rezab warisan Melayu.
“Untuk itu saya tuntut disegerakan sebelum lebih banyak tanah milik Melayu terlepas pegangan kepada asing.
“Saya telah ditunjukkan nasib sebuah rumah yang terpaksa dikosongkan walau telah berpuluh tahun menetap disitu,”ujarnya lagi










